Polis menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan keselamatan ketika perlawanan bola sepak antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak dalam saingan Piala Malaysia, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perlakuan atau perbuatan yang tidak mematuhi undang-undang.

"Orang ramai dilarang sama sekali membawa atau membakar bahan letupan termasuk suar, bunga api, mercun dan apa jua yang didefinisikan sebagai bahan letupan serta peralatan tajam yang boleh mendatangkan kecederaan " katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Sulaiman berkata penyokong kedua-dua pasukan juga dilarang berarak dan berhimpun kerana dikhuatiri mendatangkan provokasi yang boleh mencetuskan perbalahan.

"Penyokong juga dilarang meminum minuman keras serta melakukan sebarang bentuk vandalisme seperti membakar tempat duduk penonton semasa dan selepas perlawanan," katanya.

Beliau berkata penyokong harus menjaga tingkah laku, moral, budaya dan etika yang positif serta semangat kesukanan yang tinggi sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

Pada 19 Ogos lepas, kekecohan antara penyokong JDT dan Perak berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos sebaik tamat perlawanan yang menyaksikan tuan rumah menang 4-1 dalam saingan Liga Super itu.

Polis turut menahan 14 penyokong JDT pada malam tersebut.