DUA gol pada separuh masa kedua memberi kelebihan buat Portugal mengatasi Argentina 2-0 dalam bola sepak Olimpik Rio 2016, manakala Korea Selatan tidak memberi muka kepada Fiji.

Portugal yang dipacu kejayaan pasukan senior mereka di kejohanan Euro 2016, menemui sentuhan pemusnah menerusi Goncalo Paciencia dan Pite - kedua-dua gol itu ilham daripada umpanan Bruno Fernandes.

"Adalah penting untuk generasi kami cuba memberi aksi lebih baik. Jika kami menang seperti pasukan senior (kejayaan Euro 2016), makan nama Portugal akan berada di tahap lebih tinggi," kata Paciencia.

Korea pula mempamerkan aksi dominan ketika menentang Fiji dengan menjaringkan tujuh gol pada babak kedua, untuk menamatkan permainan dengan kemenangan 8-0 ke atas skuad bimbingan Frank Farina.

Tiga gol wakil Asia tersebut terhasil dalam tempoh 90 saat - termasuk dua jaringan sumbangan Kwon Chang-hoon - sementara rakannya, Ryu Seung-woo melakar hatrik untuk Korea berkenduri di Salvador, Bahia.

Keputusan itu merupakan jaringan terbesar dalam sejarah Olimpik sejak edisi 1980.

Sementara itu, tuan rumah Brazil sekadar seri 0-0 dengan Afrika Selatan, tatkala juara bertahan, Mexico membenarkan Jerman bangkit untuk mengikat keputusan 2-2.

"Saya tidak pernah terlepas gol seperti ini. Saya sangat marah dan malu, tapi ia telah berlaku. Saya sangat kecewa dengan diri sendiri, saya tidak mampu tidur lena hari ini," terang Gabriel Jesus selepas cubaannya ke arah pintu yang terbuka singgah di tiang gol.

Perlawanan dengan Iraq dan Denmark berakhir dengan tanpa jaringan, manakala aksi Colombia dan Sweden berakhir 2-2 selepas skuad Amerika Selatan itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk memadam kelebihan dua gol pencabarnya.

Honduras pula langkah kanan apabila mengatasi Algeria 3-2.

Pasukan Nigeria mengetepikan pengalaman buruk membabitkan pengangkutan untuk sampai ke Rio apabila membenam Jepun 5-4 di mana Oghenekaro Etebo, 20, menjaringkan empat gol.

Dalam aksi pagi Isnin nanti, Jerman akan menghadapi Korea Selatan, sementara Argentina akan berdepan Algeria dan Brazil menentang Iraq.