KUALA LUMPUR: Menjelang pertemuan Separuh Akhir Pertama Piala AFF 2022, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Dalam pertemuan selama satu jam itu, Hamidin sempat berkongsi agenda terkini hala tuju industri bola sepak tempatan termasuk persiapan skuad Harimau Malaya yang akan berdepan Thailand pada Sabtu.

Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Presiden FAM itu turut berkongsi persiapan skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan Gon untuk menghadapi Piala Asia pada tahun hadapan.

“Saya juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Datuk Seri Anwar atas kesudian Perdana Menteri meluangkan masa membincangkan beberapa agenda penting bola sepak negara terutama perlawanan utama membabitkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.


“Pertemuan ini amat bermakna bagi kami dalam merencana hala tuju masa depan bola sepak negara terutama menjelang perlawanan penting Harimau Malaya, esok.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Anwar, kerana memberi saya ruang berkongsi visi dan misi FAM, F:30 serta perkembangan pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan di Putrajaya,” katanya.

Menurut Hamidin, Perdana Menteri yang pernah menyandang jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983 turut menyuarakan sokongan padu beliau buat bola sepak negara.

Pertemuan singkat itu turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang berkongsikan perkembangan terkini bola sepak wanita, futsal, bola sepak pantai dan pembangunan pengadil.