KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kembali diterima sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) berkuat kuasa esok.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader, ketika mengumumkan perkara itu, berkata persekutuan itu telah meluluskan permohonan PSM sejak dua bulan lalu dalam usaha melonjakkan lagi keterampilan sukan sepak takraw tanah air.

"Pada detik yang bersejarah ini, saya ingin mengkhabarkan berita gembira kepada PSM dan seluruh ahli gabungannya, ASTAF menerima permohonan PSM untuk menjadi ahli gabungan di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Mohd Sumali Reduan.

"Saya amat menghargai kepimpinan beliau dan amat yakin beliau mampu dan berupaya mengemudi PSM hingga ke satu tahap yang amat membanggakan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan PSM, di sini, semalam.

PSM sebelum ini telah disingkirkan daripada ASTAF pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, pada 24 Feb 2021.

PSM kemudian pernah menghantar permohonan untuk kembali menyertai ASTAF namun ditolak pada Mac 2022 sebelum sekali lagi mengemukakan permohonan pada Disember lalu sejajar dengan hala tuju badan induk itu untuk mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Abdul Halim berkata penerimaan PSM sebagai ahli gabungan ASTAF akan membuka peluang untuk persatuan itu untuk diterima semula oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Dalam pada itu, katanya, ASTAF, yang bercadang mengadakan Kejohanan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) Dunia, bersetuju memberikan tanggungjawab selaku tuan rumah kejohanan itu kepada PSM.

Namun beliau tidak memaklumkan bila kejohanan berprestij itu bakal diadakan.

Sementara itu, Mohd Sumali berkata penerimaan semula PSM dalam ASTAF merupakan titik permulaan yang baik terutamanya dalam usaha membawa sukan itu ke peringkat lebih tinggi.

"Bila kita sudah kembali bernaung di bawah ASTAF, apa jua program pembangunan di peringkat antarabangsa kita boleh bincangkan, tentu ada perkara yang kita kena fikirkan dan bincang daripada sudut perlembagaan atau undang-undang permainan dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA