KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan melakukan rombakan terhadap struktur kejurulatihan skuad sepak takraw kebangsaan termasuk jawatan pengarah teknikal dalam masa terdekat.

Presidennya Datuk Mohd Sumali Reduan berkata bekas tekong negara Ahmad Jais Baharun yang kini ketua jurulatih skuad sepak takraw negara berkemungkinan akan menggalas tugas sebagai pengarah teknikal.

"Sebelum ini (dalam) perbincangan kita (PSM), Ahmad Jais adalah ketua jurulatih tetapi yang terkini ada perbincangan bersama MSN (Majlis Sukan Negara) untuk (beliau) ke arah pengarah teknikal. Apa pun kita kena dapatkan persetujuan MSN sebelum ia dapat disahkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM di Stadium Titiwangsa, malam tadi.

Mohd Sumali berkata jurulatih ATM Guardians Aswadi Abdullah dan dua legenda sepak takraw negara Suhaimi Yusof dan Mohammad Zulkarnain Md Arif pula bakal membarisi senarai jurulatih skuad sepak takraw lelaki kebangsaan.

Dalam perkembangan lain, beliau yang turut menyentuh mengenai persediaan ke Sukan SEA Kemboja 2023 yang akan berlangsung 6 hingga 16 Mei ini berkata PSM juga akan menilai semula sasaran awal yang ditetapkan persatuan iaitu dua emas masing-masing bagi acara beregu dan chinlone.

"Saya dah maklumkan pada pertemuan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), ada perubahan bagi acara chinlone iaitu terdapat penambahan satu acara yang boleh disertai... jadi kita akan maklumkan kemudian mengenai sasaran (baharu)," katanya.

-- BERNAMA