GEORGE TOWN: Kontinjen Pulau Pinang menyasarkan untuk meraih 40 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi berkata bagi memastikan kejayaan di SUKMA 2024, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi penyediaan kontinjen negeri ke temasya itu.

Beliau berkata peruntukan berkenaan merangkumi pembekalan peralatan pertandingan untuk pasukan negeri dan pelbagai perbelanjaan termasuk perbelanjaan kontinjen ke Sarawak termasuk kos penerbangan, penginapan urus setia, sewaan kenderaan dan pembekalan pakaian kontinjen negeri secara keseluruhannya.

"Bagi merealisasikan hasrat ini, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang telah menggariskan Strategi Tumpuan Utama pelaksanaan sukan berprestasi tinggi berteraskan empat teras utama," katanya pada sesi penggulungan Belanjawan 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Beliau berkata antara teras berkenaan ialah memperbanyakkan kemenangan pingat emas di sukan kebangsaan serta sukan terbuka yang disertai pada 2023 hingga 2024 serta pemerkasaan berterusan jurulatih sukan negeri.

Teras seterusnya adalah meningkatkan bilangan atlet dalam latihan skuad pelapis secara berterusan serta mengukuhkan urus tadbir dan penglibatan langsung persatuan sukan negeri dalam pembangunan sukan.

Katanya, usaha serta tindakan pengukuhan pasukan secara menyeluruh sedang dilaksanakan di peringkat Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan bakal mendorong jalinan kerjasama antara persatuan sukan negeri dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata usaha ini juga bertujuan menggandakan kejayaan dalam penyediaan pasukan berasaskan kepada kemenangan dan menduduki podium juara.

-- BERNAMA