KUALA LUMPUR: Jenama peralatan sukan terkenal, PUMA memberi peluang kepada peminat bola sepak antarabangsa melihat secara langsung trofi Kejohanan Liga Perdana 2022 yang dimenangi pasukan Manchester City pada minggu ini. 

Penganjuran acara ini merupakan usaha meraikan kerja keras pasukan Manchester City tajaan PUMA yang baru sahaja menjulang trofi Juara Liga Perdana 2022.

Ini juga merupakan trofi keempat pasukan Manchester City dalam tempoh lima tahun penglibatan mereka dalam Kejohanan Liga Perdana.

Dengan matlamat meraikan bersama peminat mereka di seluruh dunia, Manchester City menganjurkan Jelajah Piala Dunia untuk memberikan peluang kepada peminat bola sepak melihat dari dekat.

Pengurus PUMA Malaysia, Steven Tan memaklumkan, trofi Kejuaraan Liga Perdana ini merupakan salah satu perkara yang paling diidamkan dalam semua sejarah sukan antarabangsa.

“Ia melambangkan kemuncak sukan paling popular dalam salah satu liga profesional paling popular di dunia dan keberadaan trofi di sini untuk memberi peminat pengalaman melihat hasil selepas kerja keras.

“Trofi ini mewakili keindahan dan intipati bola sepak, dan kami telah membawanya ke sini untuk meraikan fakta itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Vach Pillutla berkata, penganjuran ini merupakan cara pihaknya berterima kasih kepada penyokong bola sepak serta kedai sukan Al-Ikhsan sejak 30 tahun lalu.

Dalam masa sama, Steven berharap dengan peluang menyaksikan sendiri trofi secara langsung, peminat bola sepak akan mendapat inspirasi mengekalkan sokongan terhadap bola sepak.

Selain itu, terdapat juga aksesori kejohanan kelab Manchester City seperti jersi pemain yang ditandatangan, bola sepak serta aksesori berjenama Manchester City dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, pelawat juga boleh mengambil semangat bola sepak, bermain di padang bola sepak secara maya dalam posisi pemain kegemaran mereka dalam permainan FIFA atau foosball.

Selain itu, jersi rasmi Manchester City, kasut, peralatan bola sepak dan barangan sukan PUMA turut dijual di Football Republic.

Acara akan berlangsung har ini 25 Februari 2023 (Sabtu) dari 3 petang hingga 9 malam bertempat di Football Republic @ Sunway Pyramid Mall, Bandar Sunway.