Badan bola sepak dunia terjerumus dalam krisis antara paling buruk berikutan penggantungan tiga pemimpin tertinggi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas dilaporkan terbabit dalam kes rasuah Switzerland.

Keputusan menggantungkan Presiden FIFA, Sepp Blatter, Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke dan bos UEFA Michel Platini dibuat Jawatankuasa Etika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa di Zurich, Switzerland, pada Khamis.

Jawatankuasa bebas itu turut menggantung ahli perniagaan Korea Selatan, Chung Mong-Joon selama enam tahun.

Berikutan penggantungan Blatter, FIFA mengumumkan Presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), Issa Hayatou memangku sementara jawatan tertinggi persekutuan itu.

Hayatou, 69, memangku tugas itu atas kapasiti sebagai Naib Presiden Kanan FIFA, walaupun, beliau sendiri pernah berdepan dengan kontroversi sebelum ini.

"Joseph S. Blatter direhatkan daripada semua tugasnya sebagai Presiden FIFA selepas Jawatankuasa Etika FIFA menggantung beliau selama 90 hari kerana disiasat atas kes rasuah Switzerland.

"Sepanjang 90 hari penggantungan itu, Blatter 'tidak dibenarkan mewakili FIFA atas sebarang kapasiti, menjadi wakil persekutuan atau bercakap kepada media atau pemegang saham lain sebagai wakil FIFA," kata FIFA.

Blatter dan Platini, bagaimanapun menafikan semua dakwaan rasuah terhadap mereka.

Keputusan itu sekaligus bakal menamatkan penguasaan Blatter selama 17 tahun mengetuai FIFA yang sebelum ini terpalit dengan skandal rasuah sehingga menjejaskan nama persekutuan itu.

Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dalam reaksi segeranya menegaskan, badan itu masih yakin dengan kepimpinan Platini dan belum bercadang untuk mengganti presidennya sepanjang tempoh beliau digantung.


Sebelum ini, Platini dan Chung telah mengumumkan mengenai hasrat mereka untuk bertanding jawatan tertinggi FIFA apabila Blatter meletak jawatan itu pada Februari tahun depan.

Berkutan penggantungan itu Platini dan Chung bakal tersingkir daripada bertanding jawatan presiden FIFA kerana kesemua calon bagi jawatan Presiden FIFA perlu melepasi ujian integriti sebelum 26 Oktober ini.

Dalam pada itu, Hayatou dalam satu kenyataan berkata, beliau hanya akan memangku sementara jawatan presiden dan tidak bercadang untuk bertanding bagi jawatan tertinggi persekutuan itu.