SUKAN
Ribery bidas kenyataan Ballon d'Or Ronaldo

Dalam satu sidang media pada Sabtu lalu Ronaldo menegaskan bahawa hanya pemenang Liga Juara-Juara layak untuk menerima Ballon d'Or. - Agensi via Sinar Harian
BEKAS bintang Bayern Munich, Franck Ribery, tampil menyelar kenyataan Cristiano Ronaldo yang menyatakan bahawa pemain hanya layak memenangi Ballon d'Or sekiranya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.
Ringkasan AI
- Franck Ribery menyelar kenyataan Cristiano Ronaldo: Ribery mempertikaikan dakwaan Ronaldo bahawa hanya pemenang Liga Juara-Juara Eropah layak menerima Ballon d'Or, dengan menyindirnya melalui media sosial.
- Kontroversi Ballon d'Or 2013: Ribery hampir memenangi Ballon d'Or selepas kejayaan besar bersama Bayern Munich, tetapi akhirnya kalah kepada Ronaldo, yang tidak memenangi sebarang trofi bersama Real Madrid pada tahun tersebut.
- Ketidakadilan dalam pemilihan anugerah: Ribery sebelum ini menyifatkan kemenangan Ronaldo sebagai tidak adil dan berunsur politik, dengan mendakwa bahawa tempoh undian dilanjutkan secara luar biasa.
Pemain berkenaan ketika itu dicanang sebagai calon utama selepas membantu Bayern Munich meraih lima trofi, termasuk Bundesliga dan Liga Juara-Juara selain dinamakan Pemain Terbaik UEFA di Eropah atas persembahan cemerlangnya.
Namun, Ronaldo memenangi Ballon d'Or tahun tersebut meskipun tidak memenangi sebarang trofi bersama Real Madrid walaupun berjaya menjaringkan 66 gol dalam 56 perlawanan.
Dalam satu sidang media pada Sabtu lalu Ronaldo menegaskan bahawa hanya pemenang Liga Juara-Juara layak untuk menerima Ballon d'Or.
"Anugerah individu kini kurang mendapat persetujuan ramai. Saya tak boleh kata siapa yang patut menang. Pada pandangan saya, mereka yang menyerlah dan memenangi Liga Juara-Juara patut menang.
"Tapi sekarang tiada kesepakatan. Saya sendiri tak begitu percaya pada anugerah individu kerana saya tahu apa yang berlaku di sebalik tabir.
"Lamine (Yamal) boleh menang, begitu juga (Ousmane) Dembele atau Vitinha, pemain-pemain muda lain... tapi bagi saya, anugerah individu sudah tidak begitu relevan," katanya.
Ribery kemudiannya membalas kenyataan tersebut melalui Instagram dengan memuat naik satu mesej sinis: "Jadi, anda perlu menang Liga Juara-Juara untuk menang Ballon d'Or?," tulis Ribery.
Mesej itu turut disertakan dengan tiga emoji ketawa.
Terdahulu, dalam satu temu bual bersama akhbar Itali Gazzetta dello Sport pada 2022, Ribery pernah menyifatkan kemenangan Ronaldo pada 2013 sebagai tidak adil.
“Ia satu ketidakadilan.
“Itu musim yang luar biasa bagi saya dan saya sepatutnya menang. Mereka melanjutkan tempoh undian, dan sesuatu yang pelik berlaku. Saya rasakan ia satu keputusan berunsur politik," katanya. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami