Ronaldo tak setuju Messi pemain terhebat sepanjang zaman

Selama lebih sedekad, Ronaldo (kiri) dan Messi (kanan) mendominasi dunia bola sepak dengan kejuaraan liga, anugerah Ballon d’Or serta pelbagai kejayaan di peringkat kelab dan antarabangsa.
BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo menegaskan tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Lionel Messi merupakan pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, sekali gus mencetuskan semula perdebatan lama antara dua ikon bola sepak itu.
Ringkasan AI
- Cristiano Ronaldo menegaskan tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Lionel Messi merupakan pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, menyebabkan perdebatan lama antara kedua-dua ikon itu kembali mencetus.
 - Kedua-dua pemain terkenal ini sebelum ini jarang mengulas secara terbuka mengenai siapa yang lebih hebat, tetapi Ronaldo akhirnya memberikan pandangannya dalam temu bual eksklusif bersama Piers Morgan.
 - Meskipun sudah berusia 40 tahun, Ronaldo terus menunjukkan ketajamannya di hadapan gol dengan menjaringkan sembilan gol dalam 10 penampilan untuk Al-Nassr musim 2025-26, sambil mengejar impian membawa pulang kejuaraan di Arab Saudi dan bersedia untuk Piala Dunia 2026.
 
Kenyataan itu menarik perhatian ramai memandangkan kedua-dua pemain sebelum ini jarang mengulas secara terbuka mengenai siapa yang lebih hebat antara mereka.
Selama lebih sedekad, Ronaldo dan Messi telah mendominasi dunia bola sepak dengan kejuaraan liga, anugerah Ballon d’Or serta pelbagai kejayaan di peringkat kelab dan antarabangsa.
Kini di penghujung karier masing-masing, Ronaldo meneruskan aksi bersama Al-Nassr di Arab Saudi manakala Messi mewarnai saingan Major League Soccer (MLS) bersama Inter Miami, kelab milik legenda England, David Beckham.
Dalam temu bual tersebut, Ronaldo turut menjawab komen bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Wayne Rooney yang sebelum ini memilih Messi sebagai pemain terbaik dunia.
Ronaldo bagaimanapun tidak berkecil hati dengan kenyataan itu dan menegaskan ia bukan satu masalah baginya.
Walaupun sudah berusia 40 tahun, Ronaldo terus membuktikan ketajamannya di hadapan gol. Musim 2025-26 menyaksikan dia sudah menjaringkan sembilan gol dalam 10 penampilan untuk Al-Nassr dalam semua kejohanan.
Ronaldo juga menyatakan keinginannya untuk membawa pulang kejuaraan di Arab Saudi yang merupakan impian yang belum tercapai sejak beliau meninggalkan Manchester United pada tahun 2022.
Dengan karier antarabangsa yang masih belum berakhir, tumpuan kini terarah kepada Piala Dunia 2026 yang mungkin menjadi peluang terakhir Ronaldo untuk menjulang trofi paling berprestij dalam dunia bola sepak dan berpotensi untuk sekali lagi berdepan seteru lamanya, Lionel Messi. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


