GEORGE TOWN: Polis menahan 20 lagi individu bagi membantu siasatan insiden rusuhan antara penyokong pasukan bola sepak Pulau Pinang dan Kedah Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 38 tahun direman tiga hari selepas perintah tahanan reman diperolehi pagi tadi.

"Kesemua suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah. Ujian saringan ke atas semua suspek mendapati mereka bebas daripada pengambilan sebarang jenis dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 kerana perbuatan khianat.

Sementara itu, Soffian tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan susulan berdasarkan siasatan yang dijalankan.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi inspektor Lim Zhao Yong di talian 011-19078888 bagi membantu siasatan.

Pada Rabu, 7 suspek ditahan reman selama dua hari.

Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar stadium sebaik sahaja perlawanan antara kedua-dua pasukan berakhir.

Media sebelum ini melaporkan insiden kekecohan berlaku diantara penyokong Kedah FC dan Penang FC di luar Stadium Bandaraya selepas perlawanan berakhir.

Dalam satu video tular berdurasi 1 minit 42 saat, kumpulan berpakaian serba hitam yang dipercayai penyokong Pulau Pinang dilihat mengeluarkan kata-kata provokasi sebelum berlaku pergaduhan dengan penyokong pasukan lawan.

Suasana menjadi semakin tegang apabila kedua-dua kumpulan mula bertindak agresif dengan saling menyepak sesama mereka hingga mencetuskan kekecohan berhampiran kawasan parkir bas penyokong Kedah

Dalam saingan ke-20 Liga Super yang berlangsung malam tadi, pasukan Penang FC  tewas dengan pasukan Kedah FC dengan jaringan 1-2.