KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan Safee Sali menasihatkan skuad Harimau Malaya supaya terus fokus dan tidak terganggu dengan provokasi netizen di media sosial, dalam mengharungi kempen Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai di Doha, Qatar bermula esok.

Secara peribadi, beliau berpendapat sorotan media sosial Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang sering memaparkan skuad Malaysia seperti bintang muda Arif Aiman Mohd Hanapi, seharusnya dijadikan penyuntik semangat buat barisan pemain negara.

".....dengan highlight diberikan (liputan media), saya harap ia boleh menjadi penyuntik semangat kepada pasukan serta pemain, supaya lebih yakin dengan keupayaan diri sendiri. Saya harapkan mereka akan pergi jauh dan jangan terganggu dengan sebarang provokasi di media sosial.

"Dia (Arif Aiman) merupakan pemain muda yang akan menyerlah dalam perjuangan kali ini. Memang saya akui benda itu. Saya mengharapkan kita boleh pergi jauh," katanya ketika sidang media eFootball 2024 di sini hari ini.

Mengulas mengenai perlawanan pertama skuad bimbingan Kim Pan Gon menentang Jordan pada 15 Jan (16 Jan waktu Malaysia), Safee melahirkan harapan agar skuad Harimau Malaya dapat mengekalkan fokus mereka sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

"Harap kita (fokus) permainan demi permainan, dengan perlawanan pertama menentang Jordan. Kita kena beri sehabis baik sebab main satu permainan bukan timbal balik, jadi tiap permainan kena buat yang terbaik dalam 90 minit (waktu perlawanan) untuk kutip mata, mata maksimum," katanya.

Safee juga berharap skuad kebangsaan dapat bermula dengan baik dalam perlawanan pertama mereka, terutamanya selepas mencatat keputusan seri 2-2 menentang pasukan ke-91 dalam aksi persahabatan pada Selasa.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit, akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Jan (16 Jan waktu Malaysia), diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan ini.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan pada kejohanan di Doha, Qatar itu.

Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007.

Malaysia tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam Piala Asia, pada tiga edisi sebelum ini.

Ikuti berita dan info terkini mengenai Piala Asia 2023 di https://asiancup.bernama.com.

-- BERNAMA