2015 mungkin bukan tahun yang gembira untuk Safee Sali. Jujurnya, semenjak pulang dari Indonesia, pemain kelahiran Selangor ini masih belum mendapat rentak sebenar yang pernah menjulang nama beliau di pentas antarabangsa.

Pada awal tahun 2015, khabar angin banyak tersebar mengatakan Pemain JDT ini akan berhijrah ke kelab lain, selepas dia bukan lagi pilihan utama dibandingkan Luciano Figueroa dan Amri Yahyah. Malah, seorang lagi penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha juga meninggalkan JDT untuk mencari lebih banyak peluang untuk bermain dengan berpindah ke Terengganu.

Di peringkat antarabangsa, Safee juga sering kali disisihkan untuk bermain di kesebelasan utama, malah tidak dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan setelah gagal memikat bekas jurulatih kebangsaan,Dollah Salleh.

Lantas, 2015 terus menghantui Safee selepas hanya menjaringkan 5 gol, di samping memberi 3 assist di dalam liga super tahun ini dan itu semestinya tidak memadai untuk mengembalikan gelaran penyerang berbisa.

Persembahan di Piala FA juga tidak begitu memberansangkan, tanpa sebarang rekod jaringan Safee Sali.

Namun, persembahan Safee mula meningkat setelah bermulanya Piala Malaysia 2015.

Safee mula kembali menyengat bersama JDT dan menyumbang gol pertama buat The Southern Tigers pada perlawanan pertama mereka bertemu Perak.

Safee juga menjadi hero untuk JDT empat hari kemudian, apabila dua gol dari Safee telah membawa JDT ke peringkat separuh akhir Piala AFC, mencipta sejarah dalam bola sepak Malaysia.

Dengan Luciano Figueroa tidak dapat diturunkan ketika menentang Al-Qadsia untuk peringkat separuh akhir, jurulatih Mario Gomez yakin bahawa Safee Sali mampu mengetuai jentera serangan untuk JDT.

Persembahan yang baik dan konsisten juga telah menarik minat jurulatih sementara negara, Datuk Ong Kim Swee bagi menyenaraikan Safee menyarung jersi kebangsaan untuk menentang Timor Leste dan Laos.

Di saat Malaysia kekurangan penyerang tempatan, negara amat memerlukan Safee Sali kembali untuk mencari sentuhan berbisanya dan menunggang harapan Harimau Malaya..