SUKAN
Salah dijangka terlepas 6 aksi penting Liverpool musim depan

Kehebatan Salah (gambar) turut membolehkannya menandatangani kontrak baharu selama dua tahun di Anfield, meskipun kontrak asalnya dijadual tamat pada musim panas ini. - Gambar fail/Sinar Harian
BINTANG Liverpool, Mohamed Salah dijangka terlepas enam perlawanan penting kelab itu musim depan termasuk aksi tumpuan menentang pencabar kejuaraan, Arsenal berikutan komitmennya bersama skuad kebangsaan Mesir di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Salah menampilkan prestasi luar biasa musim lalu dengan meledak 29 gol dalam semua aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) serta memainkan peranan penting membantu Liverpool merangkul kejuaraan liga pertama mereka sejak 2020.
Kehebatan penyerang itu turut membolehkannya menandatangani kontrak baharu selama dua tahun di Anfield, meskipun kontrak asalnya dijadual tamat pada musim panas ini.
Salah turut mengungguli anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris buat kali keempat selain dinobatkan sebagai Pemain Terbaik buat kali kedua.Jadual musim baharu yang diumumkan pada Rabu membawa cabaran besar buat Liverpool apabila Salah dijangka terlepas enam aksi penting.
Kehilangannya berpunca daripada penyertaannya dalam kempen AFCON yang akan berlangsung di Maghribi.
Mesir dijadual membuka kempen peringkat kumpulan menentang Zimbabwe pada 22 Disember di Agadir, dan Salah dijangka perlu melapor diri sekurang-kurangnya seminggu sebelum perlawanan tersebut kecuali jika Liverpool berjaya berunding untuk pelepasan lebih lewat.
Sekiranya tiada persetujuan dicapai, Salah berkemungkinan besar akan terlepas perlawanan menentang Tottenham (20 Disember) diikuti Wolves pada 27 Disember apabila Mesir menentang Afrika Selatan pada Hari Krismas.
Aksi menentang Leeds yang dijadual berlangsung pada 30 Disember juga bakal menyaksikan ketiadaan Salah memandangkan Mesir akan bertemu Angola pada 29 Disember.
Sekiranya Mesir layak ke pusingan kalah mati, Salah dijangka terus terlepas perlawanan penting lain termasuk pertemuan menentang Fulham (3 Januari) dan Arsenal (7 Januari) memandangkan perlawanan suku akhir AFCON dijadual berlangsung pada 9 atau 10 Januari.
Jika Mesir mara hingga ke perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 18 Januari di Rabat, Salah juga bakal terlepas aksi menentang Burnley pada 17 Januari.
Ketiadaan Salah sepanjang tempoh penting ini meletakkan tekanan besar ke atas pengendali, Arne Slot untuk merancang strategi terbaik dalam usaha mempertahankan kejuaraan tanpa kehadiran pemain utama mereka. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami