JURULATIH Chelsea, Maurizio Sarri, mengakui tidak gembira dengan Willian serta merancang untuk mengadakan perbincangan dengan pemain di bahagian serangan itu gara-gara menangguhkan kepulangannya ke Stamford Bridge.

Willian dikaitkan dengan Manchester United dan Real Madrid, lalu menambah keraguan mengenai masa depannya di Chelsea apabila gagal melaporkan untuk mengikuti latihan pra-musim tepat pada waktunya.

Hal pasport yang tamat tempoh dilaporkan menjadi punca penangguhan kepulangan pemain Brazil itu ke London sambil Sarri mengakui beliau mendapati situasi itu "pelik".

"Saya mahu bercakap dengannya sebelum saya menjawab soalan-soalan ini. Saya mahu berunding dengannya," kata Sarri kepada pemberita selepas Chelsea tewas 5-6 menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1 dengan Arsenal dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Dublin, awal pagi tadi.

"Saya tidak senang dengan keadaan ini tetapi sebelum saya menjawab, saya ingin bercakap dengannya."

Willian bukanlah satu-satunya pemain Chelsea yang dikaitkan dengan perpindahan, ini termasuklah Eden Hazard dan Thibaut Courtois yang menarik minat juara Eropah, Real Madrid.

Ketika diminta mengulas hala tuju ketiga-tiganya, Sarri menjawab: "Tidak pada saat ini, tidak. Ini kerana saya akan bertemu mereka buat pertama kalinya Sabtu ini.

"Buat masa ini, saya tidak tahu keadaan sebenar. Belum ada apa-apa berita.

"Kita bercakap tentang pemain handalan. Setiap kelab mahu mengekalkan pemain handalan dan kami cuba melakukannya."