Arab Saudi meraih kemenangan saguhati sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada Rusia apabila mengatasi cabaran musuh tradisi, Mesir dengan jaringan di saat akhir.

Ketika perlawanan kelihatan akan berakhir seri, Salem Al Dawsary meledak pada minit ke-95 untuk satu-satunya kemenangan Saudi dalam kempen kali ini dan menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan A.

Mohamed Salah mempamer kualitinya dengan membuka jaringan di Volgograd Arena, menyambut hantaran jauh Abdallah El Said dan melambung bola melepasi penjaga gol Saudi, Yasser Al-Mosailem pada minit ke-22 untuk gol keduanya di Piala Dunia.

Lima minit sebelum tamat separuh masa pertama, Saudi diberi peluang untuk menyamakan kedudukan selepas hantaran lintang Yasir Al Shahrani mengenai tangan Fathy, namun sepakan penalti Fahad Al Muwallad diselamatkan penjaga gol, Essam El Hadary.

Ia menjadi detik bersejarah buat Essam, sebagai pemain paling tua beraksi di pentas Piala Dunia pada usia 45 tahun 161 hari, juga sebagai penjaga gol keempat sejak 1966 yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti pada penyertaan pertama Piala Dunia.

Tidak lama selepas meraikan kejayaan tersebut, Arab Saudi dihadiahkan satu lagi penalti apabila pertahanan Mesir, Ali Gabr menarik baju Fahad dalam kotak penalti.

Pengadil Wilmar Roldan digesa menyemak insiden tersebut dengan pengadil bantuan video (VAR) dan selepas tiga minit dia kekal dengan keputusan awalnya untuk memberi sepakan penalti kepada Saudi.

Peluang kedua tersebut dimanfaatkan sepenuhnya Salam Al Faraj, yang berjaya memperdaya Essam untuk menyamakan kedudukan.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam babak kedua namun akhirnya nasib menyebelahi Saudi menerusi jaringan Salem, 5 minit dalam masa kecederaan apabila menyudahkan hantaran Abdullah Otayf.

Tonton: Mesir 1-2 Arab Saudi