ARSENE WENGER berkata dia akan merindui tugas selaku pengurus Arsenal ketika majlis perpisahan dalam aksi terakhirnya selaku pengurus The Gunners di Emirates, semalam.

Pengendali dari Perancis itu menyaksikan pasukannya mengesahkan tempat keenam liga selepas membelasah Burnley 5-0.

Perbarisan kehormat dilakukan untuknya sebelum bermula perlawanan dan Wenger kemudian diberikan replika trofi Liga Perdana Inggeris berwarna emas sebagai tanda memperingati kejayaan merakamkan kejuaraan liga dan rekod tanpa kalah dalam semusim ketika kempen 2003/04.

Dia juga memberikan ucapan sebelum meninggalkan pasukan pada hujung musim ini, dengan menegaskan rasa cintanya terhadap Arsenal sambil mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong diatas sokongan yang diberikan sepanjang 22 tahun mengendalikan pasukan.

"Terima kasih kerana menyokong saya sejak sekian lama. Saya tahu ia bukan sesuatu yang mudah. Bagaimanapun, saya seperti anda semua, seorang penyokong Arsenal," katanya.

"Ia memberi makna yang lebih daripada menonton bola sepak. Ia adalah jalan kehidupan.

"Segala-galanya tentang membawakan gaya bola sepak yang indah, nilai yang kita mahukan serta sesuatu yang melalui ke seluruh tubuh -- kita jaga, gusar dan terdesak.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang berada di kelab kerana menjadikan pasukan ini sangat istimewa," katanya.

BACA: 'Selepas ini, saya pula akan menjerit kepada pengurus baru!'

Wenger turut menyeru kepada penyokong The Gunners agar memberikan sokongan kepada kelompok pemain yang sentiasa ada bersamanya di Emirates.

"Saya mahu anda terus menyokong penuh pemain-pemain dan staf pasukan yang sentiasa bersama saya sebelum ini," ujar pengurus berusia 68 tahun itu.

"Bagi saya, kelompok ini sangat berkualiti, tidak kira di dalam dan luar padang. Jadi, teruskan sokongan teguh kerana mereka berhak meraihnya.

"Saya mahu menamatkannya dengan satu kenyataan: Saya akan rindukan anda. Terima kasih kerana menjadi bahagian terpenting dalam hidup saya. Semoga berjumpa lagi. Syabas dan selamat tinggal."

Tatkala Wenger tidak lagi menghadapi perlawanan di laman sendiri, dia akan mengemudi The Gunners bagi berdepan dua lagi baki aksi liga menentang Leicester City dan Huddersfiled Town di tempat lawan.