CHELSEA 4 SOUTHAMPTON 2

Antonio Conte memuji karektor pemain Chelsea apabila melepasi ujian sukar menentang Southampton dengan kemenangan 4-2 untuk membawa mereka menghampiri kejuaraan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Eden Hazard meledak gol liga ke-15 musim ini untuk membolehkan tuan rumah mendahului pada awal perlawanan di Stamford Bridge tetapi bekas pemain Chelsea, Oriol Romeu, menyamakan kedudukan pada minit ke-25.

Southampton mengikat Chelsea 1-1 sehingga penghujung separuh pertama tetapi kapten, Gary Cahill, menanduk masuk pada masa kecederaan untuk membawa skuadnya sekali lagi berada di depan.

Selepas itu, Diego Costa menamatkan kemarau gol dengan dua jaringan pada separuh masa kedua, dan walaupun Ryan Bertrand merapatkan jurang pada masa tambahan, ia tidak menghalang kelab lamanya itu melebarkan kelebihan ke atas Tottenham dengan tujuh mata.

"Ia pastinya satu kemenangan yang baik dan saya fikir saya perlu gembira dengan usaha besar daripada pemain saya," kata Conte, yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan jarak perlawanan selepas Chelsea menewaskan Tottenham Hotspur 4-2 dalam separuh akhir Piala FA pada Ahad.

"Ia bukan mudah untuk bermain dua setengah hari selepas perlawanan sukar menentang Tottenham dan untuk menghadapi pasukan seperti ini.

"Southampton hari ini menunjukkan mereka adalah pasukan yang benar-benar baik, sangat kuat dengan personaliti baik dan bermain baik, dengan pemain yang baik.

"Kami mesti gembira dapat menang. Saya gembira untuk pemain saya kerana mereka berhak dengan kemenangan ini, untuk usaha besar yang mereka tunjukkan kepada saya."

Hazard, Costa, Cahill dan Cesc Fabregas semuanya dipanggil untuk beraksi selepas Conte membuat pertukaran kesebelasan utama di Wembley dan dia berasakan pemainnya memberi tindak balas yang positif terhadap percaturannya.

"Selepas dua kemenangan, ia adalah biasa untuk melakukan pertimbangan ini bahawa keputusan saya adalah betul tetapi ia tidak mudah untuk jurulatih membuat pilihan kukuh dalam keadaan ini," katanya kepada Sky Sports.

"Saya mesti gembira kerana saya mempunyai skuad yang hebat dan pemain yang hebat.

"Benar, untuk menjaringkan gol kedua pada hujung separuh masa pertama adalah sangat penting bagi kami. Saya yakin kerana saya melihat pasukan mempunyai kehendak yang tinggi dan keinginan yang besar untuk menang."

Sepanjang kerjayanya sebagai pemain, Conte menyaksikan prestasi 'pasang surut' Juventus dalam pemburuan gelaran, dan dia tidak mahu pemainnya terganggu dengan pencabar terdekat, Spurs, yang akan berkunjung ke Crystal Palace, awal pagi nanti.

"Pada bahagian ini dalam musim ini, ia tidak mudah. ​​Saya sebelum ini seorang pemain bola sepak dan saya tahu apa yang berlaku pada setiap pemain," katanya.

"Adalah penting bagi kita untuk melihat diri kita sendiri. Ini adalah perkara yang paling penting untuk kami. Perlumbaan ini akan berterusan sehingga akhir liga dan dengan sebab ini, kami mesti bersedia."