SHAH ALAM: Selangor FC mengambil inisiatif menyediakan pengawal peribadi untuk isteri dan anak Faisal Halim sebagai langkah berjaga-jaga susulan insiden serangan asid terhadap pemain bola sepak itu pada Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan polis dalam memastikan keselamatan semua pemain Selangor FC.

“Kita bekerjasama rapat dengan pihak polis. Polis dah buat rondaan. Bukan hanya Faisal Halim dan keluarga tapi juga pemain lain.

“Pada masa sama, kita juga tempatkan beberapa ‘private security’ untuk membantu isteri Faisal Halim dan juga keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Pengerusi Selangor FC yang juga Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berangkat ke hospital tempat Faisal menerima rawatan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan langkah mengasingkan pemain bagi tujuan keselamatan mereka tidak lagi dilaksanakan.

Media sebelum ini melaporkan Selangor FC mengambil pendekatan secara drastik dengan beberapa pemain berada dalam pengawasan dan diasingkan.

Keputusan itu susulan insiden menimpa Faisal yang disimbah asid pada Ahad.

Berita tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom melalui satu hantaran di laman X miliknya.