JOSE MOURINHO telah mengesahkan bahawa Sergio Romero akan kekal sebagai penjaga gol Manchester United bagi aksi final Liga Europa (UEL) berdepan Ajax.

Pemain kebangsaan Argentina itu telah memulakan aksi dalam 10 perlawanan UEL, termasuk dua aksi separuh akhir berdepan Celta Vigo dan memastkan gawang gol United tidak dibolosi dalam enam perlawanan.

Terdapat beberapa cadangan Mourinho akan menurunkan David de Gea bagi aksi di Stockholm.

Bagaimanapun, Mourinho menegaskan Romero menyertai kesebelasan utama untuk berdepan Ajax dan menyarankan beliau memiliki hubungan yang baik dengan kedua-dua penjaga gol itu.

"Mereka merupakan penjaga gol yang sangat berkualiti. Saya tidak pernah melihat dua penjaga gol rapat seperti rakan karib," kata Mourinho.

"Akan ada persaingan antara mereka, terutama sekali mereka berada di tahap yang sama. Kami sedang membincangkan mengenai penjaga gol kebangsaan Argentina dan penjaga gol kebangsaan Sepanyol.

"Mereka saling memberikan sokongan pada setiap masa. Saya tidak pernah melihat riak wajah yang tidak baik. Saya berasakan adil buat Romero untuk beraksi di final.

"Jika segalanya berjalan dengan lancar, Romero akan turun beraksi di final."