ANAK kepada bekas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Jassim Bin Hamad Al Thani menyerahkan tawaran terakhirnya untuk membeli Manchester United sejurus sebelum tarikh tutup bidaan pada Jumaat.

Menurut sumber kepada Reuters, selain memberikan tawaran nilai untuk membeli kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris itu, Sheikh Jassim juga turut mengemukakan rancangan tambahan pelaburan modal dan infrastruktur.

Sumber itu menambah bahawa bidaan itu 100 peratus untuk kelab dan akan menghapuskan semua hutang.

Manchester United dan bank pelaburan yang menjalankan proses pembidaan, Raine Group masih belum memberikan sebarang kenyataan apabila diminta memberi reaksi berhubung perkara berkenaan kepada Reuters.

Tiada butiran kewangan bagi bidaan akhir telah didedahkan secara rasmi.

Pemilik Manchester United dari Amerika Syarikat itu melancarkan proses jualan rasmi kelab pada penghujung tahun lalu dan menerima beberapa tawaran termasuk dari jutawan British, Jim Ratchliffe, pengasas pengeluar bahan kimia INEOS dan ahli perniagaan Finland, Thomas Zilliacus.

Sky Sports News melaporkan bahawa bidaan Ratcliffe untuk pegangan majoriti dalam Manchester United juga telah dikemukakan.

Menurut analisis oleh Deloitte, United adalah kelab bola sepak keempat terkaya di dunia dan merupakan salah satu aset yang paling berharga dalam semua sukan. - Sinar Harian