Siapa bakal menyerlah di Etihad?

Van Dijk (kiri) dan Haaland dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama Liverpool dan City pada aksi EPL tengah malam ini. - Foto Agensi/Sinar Harian
PERTEMBUNGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) tengah malam ini menjanjikan aksi menarik apabila Manchester City menentang juara bertahan, Liverpool di Stadium Etihad.
Seperti musim-musim sebelumnya, pertembungan City-Liverpool sentiasa menjadi tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia.
Dalam lima tahun terakhir, kedua-dua pasukan konsisten bersaing di tangga teratas liga, menjadikan pertemuan kali ini sangat dinantikan.
Sehingga minggu ke-10 EPL, persaingan di carta liga masih ketat menyaksikan City berada di tangga kedua dengan 19 mata, manakala Liverpool di tangga ketiga, hanya ketinggalan satu mata.
Dengan kedudukan sebegini, perlawanan ini amat penting bagi kedua-dua pasukan mengekalkan peluang menjuarai liga pada penghujung musim.
Menjelang aksi di Etihad, situasi kedua-dua pasukan juga berbeza.
City mempamerkan konsistensi cemerlang, manakala Liverpool masih mencari rentak selepas empat kekalahan berturut-turut di liga.
Namun, kebangkitan The Reds terserlah apabila menewaskan Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) pada pertengahan minggu, memberikan keyakinan tinggi menjelang lawatan ke Etihad.
Jika dilihat lima pertemuan terakhir, kedua-dua pasukan mencatat rekod seimbang dengan masing-masing dua kemenangan dan satu seri.
Bagaimanapun, City memenangi enam perlawanan terakhir di laman sendiri dalam semua pertandingan, menjadikan mereka pasukan pilihan untuk mengekalkan rekod positif di Etihad.
Pertemuan minggu ke-11 EPL 2025/2026 ini dijangka sengit kerana pemenang bakal menempati kedudukan naib juara sementara liga, memastikan kedua-dua pasukan beraksi habis-habisan.
Slot tagih sentuhan Ekitike
Liverpool kini menaruh harapan besar kepada penyerang muda mereka, Hugo Ekitike bagi merobek gawang City.
Pemain Perancis berusia 23 tahun itu telah menjadi tonggak utama serangan The Reds dengan enam gol setakat ini, sejak menyertai kelab pada Julai lalu menerusi perpindahan bernilai 79 juta pound (kira-kira RM490 juta).
Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui Ekitike perlu mempertingkatkan prestasinya dalam perebutan bola di udara memandangkan pemain itu berketinggian 190 sentimeter.
“Ekitike mempunyai kemahiran luar biasa dengan kaki tetapi dengan ketinggiannya, dia perlu lebih kuat dalam perebutan bola di udara,” kata Slot.
Ekitike menjadi pilihan Slot selepas penyerang termahal Britain, Alexander Isak diketepikan akibat masalah kecederaan.
Mengulas situasi semasa Isak, Slot memaklumkan bahawa peledak Sweden itu sudah kembali menjalani latihan pada Jumaat selepas berehat selama tiga minggu, namun belum cukup cergas untuk diturunkan di Etihad.
Keyakinan Haaland memuncak
Erling Haaland berada dalam prestasi terbaiknya menjelang pertembungan dengan Liverpool.
Penyerang City itu sudah mengumpul 27 gol daripada 17 penampilan musim ini dan hanya memerlukan dua gol lagi untuk mencapai 100 gol dalam EPL, sekali gus memecahkan rekod Alan Shearer sebagai pemain terpantas menjaringkan 100 gol dalam liga.
Pada masa sama, penyerang berusia 25 tahun itu turut memuji dan mahu terus belajar daripada Pep Guardiola yang akan menyambut perlawanan ke-1,000 sebagai pengurus tengah malam ini.
“Sejak saya menyertai City, Pep membantu saya dengan pergerakan dan posisi untuk menjaringkan gol. Dia memang genius,” ujar Haaland.
“Sejak saya menyertai City, Pep membantu saya dengan pergerakan dan posisi untuk menjaringkan gol.
“Dia memang genius! Semua kejayaan yang dikecapinya adalah hasil dedikasi dan kerja keras.
“Kita perlu dengar arahan beliau dan bermain untuknya kerana Pep memang layak,” tambah Haaland.
Liverpool diramal menang 2-0
Bekas pemain dan penganalisis, Paul Merson meramalkan Liverpool akan menundukkan City 2-0 dalam usaha mengejar Arsenal di puncak EPL.
Merson berkata, kekuatan individu The Reds, terutama Virgil van Dijk yang diyakini mampu mengatasi Haaland.
“Saya yakin van Dijk boleh mengawal Haaland. Liverpool juga mempunyai pemain seperti Conor Bradley yang merantai bintang Real, Vinicius Jr dalam aksi UCL baru-baru ini.
“Malah, kombinasi pertahanan, sayap dan trio tengah (Ryan Gravenberch, Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai) memberi kelebihan besar kepada Liverpool,” katanya.
Melihat faktor tersebut, Merson menjangkakan kemenangan 2-0 memihak Liverpool di Etihad. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


