SUKAN
Skuad Penyu 'mengganas' di Brunei

Careca (kiri) bijak membaca perlawanan untuk memintas bola hantaran pemain pertahanan DPMM sebelum meluru ke dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Kristijan Naumovski. - Gambar Terengganu FC
KUALA LUMPUR: Terengganu FC memanjat ke tangga teratas Liga Super selepas berpesta gol membelasah DPMM FC 5-0 pada pertembungan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan, Brunei, malam tadi.
Pemain tengah Terengganu, Careca menjaringkan gol terpantas liga musim ini selepas meletakkan skuad Penyu di depan seawal 11 saat permainan bermula.
Careca bijak membaca perlawanan untuk memintas bola hantaran pemain pertahanan DPMM sebelum meluru ke dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Kristijan Naumovski.
Terengganu tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kedua selepas pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov melepaskan rembatan padu melepasi kawalan benteng pertahanan dan jangkauan Naumovski pada minit ke-16.Pasukan pelawat semakin selesa apabila mendahului 3-0 pada minit ke-74 selepas Careca tenang menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil Abang Azharudin Abdullah selepas bola terkena tangan Prosper Owusu.
Penyerang Yann Mabella dan Muhammad Syahmi Zamri melengkapkan kemenangan besar Terengganu selepas masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-84 dan pada masa tambahan separuh masa kedua.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Badrul Afzan Razali menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan, satu mata mengatasi juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijadual menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching, Ahad ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami