MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu atlet lain mencontohi semangat skuad terjun negara yang muncul acara paling cemerlang apabila 5 penerjun layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Tiada sukan lain mampu mencabar dominasi skuad terjun negara ke Rio setakat ini. Kejayaan Cheong Jun Hoong muncul atlet terbaru layak menerusi kejohanan Piala Dunia di Rio, ketika ini membuktikan penerjun negara antara yang terbaik di dunia.

Mereka juga patut jadi contoh kepada atlet lain yang sedang memburu tiket kelayakan

"Saya bangga dengan pasukan terjun kita kerana dua, tiga hari yang lepas kita telah melayakkan beberapa atlet ke Rio dan ini adalah satu pengiktirafan kepada pasukan terjun kita. Ia sekali lagi menunjukkan skuad terjun kita adalah berkelas dunia," kata Khairy.

Selain terjun, hanya pemanah, Mohamad Khairul Anuar dan penembak, Johnathan Wong berjaya layak ke Rio setakat ini.

Namun, masih ada beberapa acara lain seperti badminton, basikal trek, angkat berat, pelayaran, lawan pedang, olahraga dan renang yang memburu tiket kelayakan.

Olimpik London 2012 menyaksikan Malaysia diwakili 29 atlet membabitkan 9 acara.

Terdahulu, Khairy merasmikan program Akademi Silat Pendekar Muda 2016 di Putrajaya.