OLE Gunnar Solskjaer memimpin latihan di Manchester United semalam selepas pengurus itu kelihatan kekal bersama pasukan buat masa ini.

Kekalahan 5-0 di laman sendiri kepada Liverpool Ahad lalu merupakan keputusan yang teruk buat pengendali kelahiran Norway itu bersama Red Devils, kekalahan ketiga bagi musim ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ketinggalan lapan mata di belakang Chelsea.

Skuad utama telah diturunkan di padang latihan Carrington dua hari selepas diaibkan oleh Liverpool, dengan kedudukan Solskjaer masih lagi tidak terjejas. Dia dilaporkan awal tiba bagi mengendalikan latihan barisan pemain.

Pegawai senior United dikatakan telah menjalani mesyuarat pada Isnin, dengan naib pengerusi eksekutif, Ed Woodward, disertai oleh pengarah pengurusan, Richard Arnold dan pengerusi bersama, Joel Glazer.

United telah berkali-kali menyokong pengendali kelahiran Norway itu, yang mengambil tugas daripada Jose Mourinho pada Disember 2018, pada mulanya sebagai pelantikan sementara. Mereka menganggap bekas penyerang United itu seorang tokoh yang ideal, dan Solskjaer kekal sebagai tokoh popular di kalangan penyokong, walaupun terdapat dalam kalangan mereka yang mahukan bertukar pengurus.

The Guardian melaporkan semalam bahawa Solskjaer kekal mendapatkan sokongan Woodward, Arnold dan bekas pengurus United yang berpengaruh, Alex Ferguson, dengan Joel Glazer ditetapkan untuk membuat keputusan akhir. Begitu juga The Telegraph yang mengatakan Solskjaer telah diberikan tiga perlawanan untuk menunjukkan dia harus dikekalkan.

United akan berhati-hati untuk mengetepikan Solskjaer jika tiada calon yang bersesuaian untuk menggantikan pengurus berusia 48 tahun itu, dan terdapat bayangan awal dia akan kekal mengendali pasukan bertemu Tottenham Sabtu ini. Dua perlawanan berikutnya adalah bertemu Atalanta dan Manchester City.

Bekas pengendali Chelsea, Inter, Juventus dan Itali, Antonio Conte, telah dikaitkan sebagai calon menggendalikan United dan terbuka dengan idea untuk mengambil alih tugas Solskjaer, sementara Zinedine Zidane tidak berminat dengan tugas yang ditawarkan, menurut laporan di Sepanyol, di mana dia telah dua kali mengendalikan Real Madrid.