OLE Gunnar Solskjaer percaya penggiliran pemain amat penting dalam baki saingan musim ini dan sedar sebilangan anak buahnya di Manchester United akan berasa "marah" kepadanya jika mereka tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Selepas permulaan musim yang lembab, United kini mengecapi sembilan rentetan tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kemenangan terakhir ke atas Wolves di Old Trafford, Rabu lalu.

Mereka hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Liverpool, dan masih mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding juara bertahan itu yang buntu tanpa jaringan dengan Newcastle United, semalam.

Solskjaer membuat enam rombakan ke atas skuad yang seri 2-2 dengan Leicester City, hujung minggu lalu, dan sempena kunjungan ke Wolves, pengurus The Red Devils itu menegaskan pemainnya harus membiasakannya dengan penggiliran skuad.

"Kami mempunyai skuad yang mantap dan kerap dirombak," katanya dalam sidang media menjelang lawatan Aston Villa, awal pagi esok.

"Kami belum dapat membentuk kesebelasan terbaik tetapi itu bukan satu isu lagi. Menjelang akhir musim ini, ia akan berkisarkan 25-26 pemain yang boleh membantu kami.

"Kecederaan dan penggantungan pasti berlaku tetapi skuad kami mampu bersedia untuk menghadapi setiap perlawanan.

"Setiap pemain berasakan mereka layak diturunkan tetapi akhirnya tercicir. Itu sebahagian elemen di Manchester United. Kami mempunyai pemain di segenap posisi dan jika anda mahu memenangi sesuatu, anda harus menyumbang.

"Begitulah keadaannya. Pemain akan berang dengan saya sehinggalah mereka khidmat mereka diperlukan. Percayalah, mereka tidak gembira ketika saya memberitahu bahawa mereka akan mengisi bangku simpanan.

"Kami mempunyai persaingan yang sengit untuk setiap bahagian, ia bagus. Ini bermakna pemain tidak boleh mengambil mudah dan menganggap mereka boleh berpura-pura dalam pasukan ini.

"Setiap orang merebut hak istimewa untuk menjadi sebahagian daripada Manchester United. Ini adalah sebuah kelab yang hebat dengan sejarah gemilang, jadi nikmatinya dan anda mungkin melalui masa-masa yang hebat."

Tambahnya lagi, United harus berwaspada dengan kelibat ketua pasukan Villa, Jack Grealish, namun anak buahnya mampu mengekang pemain lincah England itu.