Soon Huat–Shevon ambil masa panas enjin

Soon Huat–Shevon (kiri) akan berdepan Tang Jie–Ee Wei di suku akhir Terbuka Denmark Super 750. - Foto Agensi/Sinar Harian
BEREGU badminton campuran negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie, mengakui memerlukan sedikit masa menyesuaikan diri sebelum menundukkan gandingan Jepun, Yuichi Shimogami–Sayaka Hobara dalam pusingan kedua Terbuka Denmark Super 750 di Jyske Arena, Odense pada Khamis.
Pilihan kelapan kejohanan itu memastikan tiket ke suku akhir hari ini selepas mencatat kemenangan 21-13, 21-18 dalam masa 37 minit, sekali gus memimpin rekod pertemuan pertama menentang pasangan Jepun itu.
Bagi Soon Huat, mereka berdepan cabaran awal kerana belum pernah menentang lawan berkenaan, selain perlu menyesuaikan diri dengan corak permainan yang agak berbeza daripada kebiasaan.
“Ini kali pertama kami bertemu pasangan ini, jadi kami perlukan sedikit masa untuk sesuaikan diri dengan gaya permainan mereka.Mereka bukan jenis pasangan yang terlalu agresif, sebaliknya lebih kepada kawalan dan permainan lembut,” katanya selepas perlawanan.
Tambah Soon Huat, Shimogami–Hobara lebih banyak bermain secara taktikal dan tidak bergantung pada pukulan laju seperti kebanyakan lawan mereka sebelum ini.
“Sebelum ini, kami banyak jumpa pasangan yang menyerang dengan kelajuan tinggi. Jadi kali ini kami ambil sedikit masa untuk cari rentak kerana permainan mereka agak perlahan dan berbeza,” katanya.
Sementara itu, Shevon mengakui pertemuan tersebut menuntut penyesuaian pantas terhadap rentak permainan yang berubah-ubah sepanjang aksi.
“Ya, memang berbeza. Mereka ubah kelajuan dan ritma permainan, jadi kami perlu cepat sesuaikan diri terutama pada permulaan set pertama,” katanya.
Mengenai keadaan gelanggang dan bulu tangkis, Soon Huat berkata, faktor angin sedikit mempengaruhi rentak permainan, namun strategi menyerang terlebih dahulu membantu memastikan kemenangan.
“Ketika aksi pertama, angin agak kuat di satu bahagian gelanggang. Jadi kami rancang untuk lebih menyerang, dan strategi itu menjadi dalam perlawanan ini,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Soon Huat–Shevon, pasangan ranking kesembilan dunia, di landasan terbaik untuk mencabar ke separuh akhir apabila bakal berdepan satu lagi gandingan negara yang juga pilihan keempat dan juara dunia, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei pada peringkat suku akhir. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami