KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara dilihat mempunyai peluang cerah untuk muncul juara di Sukan Asia 2022 Hangzhou, China sekali gus meraih slot automatik ke Sukan Olimpik 2024 Paris.

Menerusi undian diadakan semalam, menyaksikan ia memihak kepada anak buah A. Arulselvaraj selepas diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia.

Walaupun dijangka tidak berdepan masalah melangkah ke pusingan separuh akhir, Speedy Tigers bagaimanapun masih perlu berwaspada dengan ancaman Korea Selatan yang dilihat bakal menjadi duri dalam daging menggagalkan usaha muncul juara kumpulan.

Sementara itu, juara bertahan, Jepun pula diundi dalam Kumpulan A bersama India, Pakistan, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.

Pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, skuad hoki lelaki negara terlepas peluang meraih emas selepas tumpas di tangan Jepun pada aksi final di temasya itu.

Dalam pada itu, bagi saingan hoki wanita menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama naib juara edisi 2018 India, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura.

Juara bertahan, Jepun pula mengetuai saingan Kumpulan B bersama China, Thailand, Kazakhstan dan Indonesia.

-- BERNAMA