KUALA LUMPUR: Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) mengambil inisiatif menggerakkan tabung bantuan bagi meringankan beban bekas jaguh skuasy negara, Kenneth Low Ewe Loong yang kini dilaporkan mengalami masalah isu kesihatan dan kewangan.

Presidennya, Gerard Monteiro berkata tabung berkenaan yang baru dilancarkan selepas kisah kesusahan diharungi atlet berusia 44 tahun itu tular baru-baru ini, berjaya mengumpul lebih RM30,000 hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk bekas pemain negara.

"Ramai yang tampil menghulurkan sumbangan selepas berita mengenai kisahnya keluar di media. Kita juga menubuhkan tabung supaya boleh mengumpul derma dan mengagihkan pada waktu memerlukan," katanya kepada pemberita di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini pada Rabu.

Gerard ditemui selepas majlis pengumuman West Coast Expressway (WCE) Holdings Berhad selaku penaja selama setahun membabitkan beberapa kejohanan termasuk Kejohanan Skuasy Kebangsaan SRAM ke-38 yang membuka tirai bermula Rabu hingga Ahad.

Beliau berkata SRAM dalam masa sama akan membuka akaun khas bagi tujuan menyalurkan bantuan kewangan tersebut kepada bekas atlet berkenaan.

Ahad lepas, media tempatan melaporkan Kenneth yang pernah menduduki ranking keempat di Asia dan ke-38 di dunia, kini bekerja sebagai tukang cuci, hidup susah dan mengalami masalah kesihatan.

Beliau dipercayai mengalami strok sehingga menyebabkan masalah koordinasi dan kemahiran motor, ketidakupayaan kognitif dan gangguan ingatan jangka pendek, selain tidak mempunyai wang untuk melakukan ujian bagi menentukan tahap kerosakan pada otaknya.

Sementara itu, Gerad berkata kejohanan kebangsaan itu bakal menjadi medan terbaik dalam mencungkil lebih ramai pemain berpotensi sekali gus dapat menyumbang kejayaan buat negara.

Namun, beliau memaklumkan juara bertahan edisi lepas, Ng Eain Yow dan S.Sivasangari tidak menyertai kejohanan tersebut sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2022 di China pada September ini manakala Aifa Azman terpaksa menarik diri di saat akhir berikutan mengalami kecederaan lutut kanan.

Antara nama pemain yang membuat penampilan di kejohanan itu termasuk Ivan Yuen, Mohammad Syafiq Kamal dan Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar bagi kategori lelaki sementara Rachel Arnold, Aira Azman dan Noor Ainaa Amani Ampandi untuk kategori wanita.

-- BERNAMA