PROJEK pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam yang menempatkan Stadium Shah Alam baharu dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.

Penganalisis RHB Research, Adam Mohamed Rahim memberitahu, kerja pembangunan dianggarkan bernilai di antara RM700 juta hingga RM1 bilion itu mungkin dilaksanakan melalui pertukaran tanah dengan kerajaan negeri Selangor.

“Berakhirnya pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang menyaksikan pengekalan status quo, meredakan ketidaktentuan politik yang membayangi sektor pembinaan selama ini.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan pusat berkemungkinan akan mengukuhkan kedudukannya dengan menumpukan segala usaha ke arah melaksanakan program-program prasarana, dan menjalankan agenda pembaharuannya.

“Kemajuan pembangunan projek peringkat negeri mungkin akan bertambah. Projek yang dibiayai kerajaan seperti pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam mungkin akan mula berjalan pada suku keempat," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dalam pada itu, sebelum ini tersebar satu tangkap layar di media sosial yang mendedahkan kos pembinaan Stadium Shah Alam mencecah hingga RM3.28 billion.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun menjelaskan angka RM3.28 billion itu adalah cadangan daripada pihak pemaju.

Kos pembinaan stadium baharu ini masih kekal antara RM800-900 juta seperti yang telah dimaklumkan tahun lalu.

“Mereka mengatakan kos pembinaan stadium mencecah RM3.2 bilion berdasarkan satu tangkap layar. Ini adalah salah! Kos pembinaan stadium baharu masih kekal di antara RM800-900 juta seperti yang saya umumkan pada tahun 2022.

“Angka RM3.2 bilion tersebut merupakan cadangan pemaju bagi membangunkan keseluruhan 70 ekar kawasan sekeliling termasuk pembinaan hotel, teater tertutup, stesen bas dan pusat rekreasi belia,” ciap beliau menerusi Twitter yang dijenamakan semula sebagai X. - Sinar Harian