Stella seru kem McLaren supaya bertenang dengan persaingan kejuaraan F1 bertambah sengit

Verstappen meraih tiga kemenangan dan mengurangkan kelebihan Piastri (gambar) kepada 40 mata. - AP
AUSTIN (Amerika Syarikat): Ketua pasukan McLaren Andrea Stella menyeru dua pemandunya, Lando Norris dan Oscar Piastri, agar kekal tenang ketika Max Verstappen semakin menghampiri mereka dalam perebutan kejuaraan dunia Formula 1 (F1), lapor PA Media/dpa.
Verstappen melengkapkan hujung minggu yang sempurna di Litar Americas dengan kemenangan mudah dalam perlumbaan Ahad selepas turut memenangi perlumbaan pecut pada Sabtu - yang menyaksikan Piastri dan Norris terlibat dalam nahas dan terpaksa menarik diri.
Usaha pelumba Belanda itu untuk merangkul gelaran juara kelima berturut-turut kelihatan hampir mustahil apabila beliau meninggalkan Zandvoort lima perlumbaan lepas dengan ketinggalan 104 mata di belakang pendahulu Piastri.
Namun, ketika McLaren belum mencatat kemenangan sejak itu, Verstappen meraih tiga kemenangan dan mengurangkan kelebihan Piastri kepada 40 mata, manakala Norris kini di tempat kedua selepas memendekkan jurang dengan rakan sepasukannya kepada 14 mata hasil tempat kedua di Austin.Dengan baki lima pusingan lagi dan 141 mata masih menjadi rebutan, Stella - yang pernah memenangi kejuaraan sebagai jurutera prestasi Michael Schumacher dan Kimi Raikkonen di Ferrari - tidak mahu dua pemandunya terlalu memikirkan ancaman Verstappen.
"Pertama sekali, saya sendiri perlu bertenang," kata Stella.
"Apa yang kita hadapi sekarang - persaingan sengit untuk memenangi perlumbaan dan merebut kejuaraan pemandu - itulah sebenarnya Formula 1.
"Jika sebelum ini ia kelihatan mudah, itu sebenarnya sesuatu yang luar biasa. Formula 1 adalah tentang membiasakan diri dengan tekanan sebegini, yang kita mahu hadapi dengan keamatan maksimum dan tekanan minimum.
"Kami tidak mahu hilang rasa seronok dalam apa yang kami lakukan. Kami hanya mahu pastikan diri kami berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi, termasuk terus menikmati pengalaman ini dan sedar bahawa ia sebenarnya satu keistimewaan besar berada dalam situasi ini.
"Jadi, apa yang kita perlu lakukan seterusnya sangat mudah - teruskan kerja yang baik, dan keputusan akan menyusul," katanya.
Verstappen telah menamatkan perlumbaan di hadapan kedua-dua pemandu McLaren dalam empat perlumbaan terakhir, manakala Piastri belum menewaskan mana-mana pesaing utamanya sejak kemenangannya di Zandvoort.
Stella, yang mengingati bagaimana Raikkonen memenangi kejuaraan pada 2007 selepas meraih tiga kemenangan dalam empat perlumbaan terakhir untuk menewaskan pasangan McLaren, Lewis Hamilton dan Fernando Alonso, dengan perbezaan satu mata, tidak menolak kemungkinan perlu memberi keutamaan kepada seorang daripada pemandu sekiranya cabaran Verstappen berterusan.
Warga Itali itu tidak menolak keperluan mengutamakan seorang daripada pelumbanya sekiranya cabaran Verstappen berterusan.
"Apabila tiba masa untuk membuat keputusan tentang pemandu, ia hanya akan ditentukan oleh matematik," katanya.
"Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, berdasarkan pengalaman, saya masih ingat tahun 2007 dan 2010, apabila kejuaraan akhirnya dimenangi oleh pelumba yang berada di tempat ketiga apabila memasuki perlumbaan terakhir.
"Jadi kami tidak akan menutup peluang itu - kecuali jika ia telah ditutup oleh matematik."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami