BEKAS kapten Liverpool, Steven Gerrrd, merupakan nama besar terbaru menyertai Liga Arab Saudi apabila mengikat kesepakatan untuk menjadi ketua jurulatih Al-Ettifaq.

Pengurus berusia 43 tahun itu kembali ke bidang kejurulatihan selepas dipecat Aston Villa pada Oktober lalu, kurang setahun selepas dia hanya mampu memenangi dua daripada 12 perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Di mana legenda ditemui. Kami amat teruja untuk mengumumkan bahawa Steven Gerrard ialah ketua jurulatih baru kami," kata kelab itu dalam satu ciapan Twitter.

Gerrard, yang sebelum ini membimbing Rangers memenangi kejuaraan Liga Perdana Scotland musim 2020-21 sebagai gelaran pertama karier kejurulatihannya, sudah lama menjadi sasaran kelab Arab Saudi itu tetapi mendedahkan bulan lalu bahawa dia menolak tawaran awal kelab berkenaan.

Bagaimanapun, Al-Ettifaq, yang menamatkan saingan 16 pasukan dalam Saudi Pro League di tempat ketujuh, kekal dengan minat mereka sehingga Gerrard berubah fikiran untuk bersetuju menyertai mereka.