JAMIE Carragher menolak tanggapan bahawa bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Steven Gerrard, akan menggunakan Aston Villa sebagai batu loncatan sebelum beralih ke Anfield.

Begitupun, Carragher sedar Gerrard berminat menjadi pengurus The Reds suatu hari kelak sekiranya dia berjaya dalam peranan baharunya bersama Villa.

Gerrard disahkan sebagai pengurus terbaru Villa, semalam, bagi menggantikan Dean Smith yang menempa lima kekalahan berturut-turut.

Smith mengetuai kelab yang diminatinya itu kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mencapai perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) dengan memenangi 39.6 peratus daripada 139 perlawanan yang membabitkannya.

Gerrard pula cemerlang di Rangers apabila menafikan hasrat Celtic untuk merangkul gelaran Liga Perdana Scotland kesembilan berturut-turut pada 2020-21.

Rangers belum tewas dalam kempen itu termasuk melakar rekod rentetan sembilan kemenangan di antara September dan November 2020.

Prestasi itu menyalakan perbincangan mengenai peluangnya kembali ke Merseyside di mana Jurgen Klopp mempunyai kontrak hingga 2024, justeru bekas ketua pasukan tersebut dilabel sebagai calon sesuai sebagai pengganti jangka panjang.

"Saya fikir tohmahan itu bagaikan tidak menghormati Stevie dan Aston Villa," kata Carragher kepada Sky Sports.

"Saya tahu persoalan ini berlegar di fikiran semua orang tetapi saya boleh beri jamin Aston Villa bukanlah batu loncatan untuk sesiapa jua. Mereka pernah memenangi Piala Eropah dan merupakan kelab terbesar di wilayah tengah, salah sebuah kelab terbesar di United Kingdom (UK).

"Saya pasti suatu hari kelak semua orang akan sedar, ia (Gerrard kemudi Liverpool) boleh berlaku jika ia berjalan dengan sempurna.


"Stevie ingin menguruskan Liverpool tetapi saya boleh beri jaminan kepada anda bahawa Stevie hanya mahu menguruskan Liverpool seandainya dia memang layak, begitu juga dengan penyokong dan pihak kelab itu sendiri.

"Liverpool bukan sebuah pasukan yang akan menawarkan jawatan kepada seseorang hanya kerana mereka pernah mempunyai kerjaya hebat sebagai pemain.

"Jika Stevie mampu menguruskan Aston Villa dengan baik dan layak ke Eropah mahupun menjuarai Piala EFL, mungkin ia akan mencerahkan peluangnya.

"Tetapi baik Liverpool termasuk Manchester United, Manchester City dan Chelsea, mereka sentiasa mampu menarik perhatian pengurus terbaik di dunia. Jelas sekali ia satu cabaran buat Stevie untuk membuktikan kemampuannya menjadi salah seorang pengurus terbaik dalam bola sepak Eropah atau dunia. Saya pasti, dia peluang untuknya akan terbentang.

"Tetapi jika dia tidak sampai ke sana, saya tidak fikir Stevie sendiri mahu menggalas tugasan itu kerana berasakan mungkin ada orang lain yang boleh membawa Liverpool dengan lebih baik.

"Oleh itu, saya fikir Stevie hanya perlu memberi tumpuan kepada Aston Villa dan jangan risau tentang perkara lain."