Ahli gusti Sting menafikan laporan beberapa laman web antarabangsa tentang persaraan beliau susulan kecederaan leher yang dialaminya baru-baru ini.

Dalam sebuah video pendek yang disiarkan portal TMZ Sports hujung minggu lepas, Sting atau nama sebenarnya Steve Borden memaklumkan yang lehernya “okay” dan menafikan desas-desus yang beliau akan bersara.

“Secara rasminya, saya belum bersara. Banyak khabar angin yang bertiup, namun saya belum lagi ingin bersara,” ujarnya ringkas kepada wartawan.

Namun demikian, bekas Juara Heavyweight Dunia WCW dan TNA ini tidak menjelaskan dengan lebih lanjut tentang perkara ini, dan berkemungkinan bakal membuat pencerahan secara rasmi di malam penganugerahan Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) WWE pada 3 April ini.

Bintang yang baharu menyambut ulangtahun kelahirannya ke-57 pada Isnin, sebelum ini dikhabarkan mengalami kecederaan saraf pada bahagian leher dan dinasihatkan agar pencen daripada bergusti kerana ia boleh mengancam nyawanya.

Ia berpunca daripada satu hentakan kuat melalui gerakan bantingan peledak (power bomb) ke bahagian penjuru gelanggang semasa perlawanan menentang Seth Rollins di acara Night Of Champions September lalu.

Penafian ringkas ini kembali menimbulkan spekulasi di kalangan peminat yang Sting bakal terlibat dalam acara Wrestlemania 32 nanti.

Jika benar Sting masih belum mahu bersara, ramai yang menjangkakan beliau akan mengganggu perlawanan Sangkar Neraka (Hell In A Cell ) di antara The Undertaker dan Shane McMahon, seterusnya mencipta sengketa dengan The Phenom.

Pertembungan antara The Undertaker dan Sting sudah tentu amat ditunggu-tunggu kerana ia merupakan sebuah perlawanan impian yang telah lama didambakan para peminat gusti sejak sedekad yang lalu.

Dalam pada itu, seorang lagi bintang lagenda Hulk Hogan menyatakan hasrat untuk kembali semula ke WWE setelah beliau memenangi kes saman terhadap laman blog gosip Gawker minggu lalu.

Dalam perbicaraan kes tersebut, Gawker telah disaman kerana menyiarkan klip video sulit membabitkan Hogan tanpa kebenaran di internet, sehingga menyebabkan kerjaya penggusti lagenda itu hancur dan diselubungi kontroversi.

Dalam rakaman berdurasi selama lebih kurang dua minit itu, Hogan didapati telah mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur perkauman dan mampu menyinggung sesetengah pihak.

Bagi memelihara imej dan kredibiliti, WWE sebagai sebuah syarikat senaraian awam telah memutuskan untuk memecat serta memutuskan segala hubungan yang telah terjalin dengan penggusti veteran berusia 62 tahun itu.

Hogan atau nama sebenarnya Terry Bollea bakal menerima pampasan bernilai hampir RM466 juta ($115 juta dolar Amerika) apabila mahkamah memutuskan yang dirinya telah teraniaya. Susulan daripada keputusan ini, Hulkster berharap agar WWE buang yang keruh dan ambil yang jernih, seterusnya menerima semula kehadirannya dengan hati terbuka.

Saksikan WWE Raw jam 10 malam ini di Astro Supersport 3 saluran 816/834 (HD).

________________________________________________________________________________________

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia di Facebook yang kini telah menghimpunkan lebih 15,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.