PENYERANG Barcelona, Luis Suarez menggesa Lionel Messi untuk mengikuti jejak langkahnya dan menandatangani perjanjian baru di Camp Nou.

Juara LaLiga mengumumkan semalam bahawa mereka telah bersetuju dengan terma yang ditetapkan dan pemain antarabangsa Uruguay menandatangani kontrak sehingga 2021.

Suarez dalam pada itu berharap Messi akan menjadi pemain seterusnya yang memperbaharui perjanjian kontrak. Dengan perjanjian yang sedia ada, pemain Argentina itu akan tamat pada 2018.

"Kegembiraan saya akan lengkap hanya jika Messi memperbaharui kontraknya juga.

"Tetapi pembaharuan saya bukan satu mesej kepada Messi. Dia sudah cukup dewasa untuk memikirkan apa yang baik untuk dirinya," Suarez kepada pemberita.

Messi sebelum ini tewas dalam perebutan Ballon d'Or kepada Cristiano Ronaldo, tetapi Suarez menegaskan rakan sepasukannya yang sepatutnya menjulang trofi individu yang berprestij itu.

"Semua orang mempunyai kriteria mereka sendiri," katanya.

"Tetapi setakat yang saya tahu, Messi layak untuk menang setiap tahun kerana apa yang telah dia berikan kepada bola sepak.

"Dia adalah yang terbaik," ujarnya.

Perjanjian baru Suarez menyaksikan dia akan kekal di Camp Nou sehingga dia berusia 34 tahun dan dia mungkin akan menamatkan kerjayanya di Barca.

"Setiap pemain mahu menamatkan kerjaya mereka di sebuah kelab di mana mereka berasa selesa.

"Saya akan melihat kembali, tetapi saya tidak akan kehilangan sama ada cita-cita atau semangat saya," tegas penyerang itu.