Jagoan terjun negara, Pandelela Rinong terpaksa menarik diri daripada acara 10 meter platform terjun seirama Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang akan berlangsung di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, Jakarta esok.

Perkara itu disahkan pemangku ketua jurulatih terjun negara, Zhang Yukun yang memaklumkan ia gara-gara atlet harapan itu mengalami kecederaan belakang semasa menjalani latihan semalam.

“Kami tidak mahu mengambil risiko besar. Bagi Pandelela, kami akan menilai tahap kecederaannya dalam masa terdekat sebelum membuat keputusan mengenai penyertaannya dalam acara individu.

“Buat masa ini Dhabitah akan turun sebagai pengganti, dan gandingan ini juga telah berjaya meraih pingat Sukan Komanwel tempoh hari,” jelas Yukun.

Nur Dhabitah Sabri akan digandingkan kembali dengan Leong Mun Yee yang mana mereka berjaya merangkul gangsa di Gold Coast, Australia April lalu.

Harap ada sinar di sebalik kesulitan itu dalam buruan emas pertama Malaysia acara terjun Sukan Asia sejak ia mula dipertandingan pada temasya 1951 di New Delhi, India.