JOHOR BAHRU: Senarai pemain pasukan ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan yang bakal membawa cabaran negara pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, akan dimuktamadkan awal September.

Ketua jurulatihnya Nik Safuan Ismade Nik Man berkata sebelum itu, pemain perlu berhadapan dengan lebih banyak perlawanan ujian yang akan menjadi medan pemilihan skuad terbaik, dalam menggalas cabaran untuk menjadi antara empat pasukan terbaik dalam temasya sukan berprestij itu.

Beliau berkata antara perlawanan ujian yang dirancang ialah perlawanan sama ada dengan Thailand, Emiriah Arab Bersatu atau Taiwan, pada pertengahan Ogos ini.

"Saya telah berbincang dengan Kesatuan Ragbi Malaysia dan Majlis Sukan Negara mengenai perkara ini (perancangan perlawanan ujian) dan harap diluluskan. Perlawanan ujian ini sebagai pendedahan kepada pemain dan persiapan kepada pasukan, dalam masa yang singkat," katanya selepas perlawanan ujian antara Bunga Raya 7s dan Singapura 7s di Stadium Ragbi, Kompleks Sukan Johor, di sini hari ini.

Nik Safuan berkata setakat ini, seramai 18 pemain disenarai untuk persediaan menghadapi Sukan Asia Hangzhou, termasuk pemain utama iaitu Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi, Adam Arif Alias, Mohamad Shah Izwan Nordin dan Ahmad Zulhilmi Azizad.

Bekas pemain ragbi kebangsaan itu berkata cabaran utamanya ketika ini ialah mengekalkan tahap kecergasan pemain selain mengelakkan mereka daripada mengalami sebarang kecederaan.

Berbekal tempoh beberapa bulan yang masih ada sebelum menjelang kejohanan itu, Nik Safuan yakin mampu untuk mempersiapkan pasukannya dalam pretasi yang terbaik, bagi berdepan dengan pasukan gergasi dalam sukan itu seperti Jepun, Hong Kong, Korea Selatan dan China.

Terdahulu, Bunga Raya 7s menewaskan Singapura 7s selepas menang tiga daripada empat perlawanan ujian yang berlangsung semalam dan hari ini.

Pasukan negara yang diberi julukan skuad Bunga Raya 7s itu, sebelum ini menamatkan saingan di tempat kelima pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

-- BERNAMA