Sukan tidak harus diukur kepada kemenangan sahaja, sebaliknya mampu memupuk perpaduan dalam kalangan belia, kata Menteri Belia, Sukan dan Perpaduan Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

"Sukan bukan hanya berkaitan kemenangan semata-mata tetapi menerusi sukan juga, ia mampu memupuk budaya hormat dalam kalangan individu serta mengukuhkan perpaduan pada usia muda," kata Manyin ketika berucap pada majlis pembukaan Perkampung Sukan Sukma di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Abdul Jalil Abdullah, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia Datuk Low Beng Choo dan Naib Canselor Unimas Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Enam kolej Unimas digunakan sebagai Perkampungan Sukan untuk Sukma ini iaitu Kolej Sakura, Kolej Allamanda, Kolej Cempaka, Kolej Dahlia, Kolej Bunga Raya dan Kolej Tun Ahmad Zaidi.

Perkampungan Sukan itu mampu menempatkan 4,00 atlet dan pegawai yang akan beraksi dalam acara sukan yang diadakan di sekitar Kuching, Petra Jaya dan Kota Samarahan.

Kampus Unimas juga digunakan sebagai gelanggang acara bola sepak dan memanah.