KUALA LUMPUR: Atlet triatlon negara Chong Xian Hao menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini, kerana masalah kecederaan.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam kenyataan pada Sabtu mengesahkan Xian Hao menarik diri setelah mengalami kecederaan semasa menjalani latihan persiapan ke temasya berprestij berkenaan baru-baru ini.

Kenyataan itu memaklumkan tindakan tersebut diambil setelah mendapat pengesahan tahap kecederaan atlet itu daripada Institut Sukan Negara (ISN).

"Susulan penarikan diri Xian Hao, bilangan atlet dalam kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2022 adalah seramai 104 orang.

"Pihak MOM berharap agar beliau akan kembali pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kembali beraksi dalam tempoh terdekat," menurut kenyataan itu.

Xian Hao, 21, yang sepatutnya membuat penampilan kedua di temasya itu, sebelum ini menamatkan saingan di tempat ke-30 daripada 36 peserta dengan catatan masa 1:04:45 saat pada edisi 2018 di Gold Coast.

-- BERNAMA