WALAUPUN bersaing hebat di dalam gelanggang, semangat kesukanan dan rasa hormat yang dipamerkan kepada lawan sentiasa mengundang rasa terharu masyarakat dunia tanpa mengira latar belakang termasuk negara.

Itulah yang berlaku apabila jurulatih badminton negara, Hendrawan menerima pujian ramai selepas secara spontan bertindak memberikan kasutnya kepada pemain Jamaica, Samuel Ricketts ketika saingan Sukan Komanwel Birmingham 2022, awal pagi tadi.

Ricketts yang ketika itu menentang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dalam aksi Kumpulan D acara berpasukan, terpaksa meminta perlawanan dihentikan seketika kerana tapak kasut dipakainya koyak.

Pegawai perlawanan kemudian dilihat cuba memotong bahagian tapak yang koyak, namun keadaan kasut sedemikian tidak membolehkannya beraksi dengan baik. Dia kemudian dilihat memakai kasut yang dipercayai dipinjam daripada rakan sepasukan namun terpaksa membukanya disebabkan tidak sama saiz.

Tze Yong turut menawarkan kasutnya tetapi perbezaan saiz turut menjadi masalah utama, sebelum Hendrawan yang kebetulan memakai kasut yang sama saiz tampil membawa kasut dipakainya untuk diserahkan kepada Ricketts.


Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, turut berkongsi perasaan terharu dan bangga melihat insiden berkenaan di laman Facebooknya.

"Always the kindest friendly man who is never shy offering help to anyone, even someone new to him … ladies and gentleman, that’s Hendrawan… my friend, my mentor and former world champion.
(Sentiasa menjadi seorang lelaki peramah yang paling baik dan tidak pernah segan menawarkan bantuan kepada sesiapa, malah seseorang yang baru dikenalinya... tuan-tuan dan puan-puan, itulah Hendrawan... kawan saya, mentor saya dan bekas juara dunia).

"Sidenote: eh coach Hendrawan, nasib baik yang koyak kasut dia. Kalo seluar dia yang koyak i challenge pak tolong dia gak…," katanya berjenaka.


Dalam pada itu, seorang pengguna Twitter, @khazian, berkata: "Coach Hendrawan seperti bapa kepada pemain-pemain ini, walaupun pemain lawan. Beliau tentu mahukan perlawanan yang adil untuk pemainnya juga," katanya.

Sementara itu, Hendrawan berkata apa yang dilakukan adalah atas dasar mahu membantu dan enggan melihat pemain itu yang cukup bersemangat, terpaksa menarik diri hanya disebabkan kasut yang rosak.


"Saya hanya memberikan sepatu saya supaya dia bisa (boleh) melanjutkan (meneruskan) mimpi untuk terus bermain.

"Dari sini saya belajar, ternyata ada yang lebih besar dari sebuah pertandingan, iaitu kasih sayang, rasa hormat dan kemanusiaan," tulis Hendrawan di Instagram.

Dalam perlawanan itu, Tze Yong tidak berdepan masalah untuk mengatasi Ricketts dalam straight set 21-12, 21-16.