TIMBALAN Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyematkan amanat buat atlet negara agar mengukir kejayaan dalam Sukan Olimpik Tokyo minggu depan, sewaktu majlis penyerahan Jalur Gemilang di ibu negara pada Selasa.

Dalam perkongsian yang dibawakan wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, TPM berkata harapan kerajaan cukup tinggi untuk melihat lagu Negaraku dapat berkumandang di bumi Tokyo, sekali gus menamatkan penantian emas pertama Malaysia dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

"Kami di pihak kerajaan sebenarnya telah mencuba untuk memberikan ruang terbaik untuk mereka (atlet) mengadakan latihan walaupun dalam era pandemik COVID-19 ini," kata TPM.

"Dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat, kami membenarkan mereka mengadakan latihan secara berpusat.

"Harapan kerajaan adalah supaya bendera Malaysia dapat berkibar dan yang paling diharapkan adalah lagu Negaraku dapat berkumandang di bumi Tokyo," katanya.

TPM juga berharap doa seluruh rakyat Malaysia akan mengiringi perjuangan atlet negara untuk memburu pencapaian terbaik dalam acara masing-masing.

Kontinjen negara sememangnya berdepan cabaran yang berbeza dalam edisi ke-32 Sukan Olimpik kali ini memandangkan seluruh dunia masih bergelut dengan pandemik koronavirus.

Bagaimanapun, TPM menegaskan kesihatan dan keselamatan atlet akan tetap diutamakan dalam bentuk sokongan yang akan diberikan kerajaan.

Ini seandainya ada dalam kalangan mereka, termasuk pegawai dan petugas media tanah air, dijangkiti COVID-19 di negara penganjur itu.

"Kalau boleh kami tidak mahu langsung ada satu pun atlet kita yang dijangkiti.

"Dan kalaulah ada, kami akan menyediakan bantuan yang sebaik mungkin untuk atlet kita di sana.

"Insya-Allah, jangan risau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa bersedia seandainya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini," katanya.