Sukan SEA 2025: Skuad petanque sasar empat pingat di Thailand

Cheah ketika ditemui media pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan petanque ke Sukan SEA 2025 Thailand dan Pelancaran Laman Web MBSF di Wisma OCM hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF) mengambil pendekatan berhati-hati apabila menetapkan sasaran empat pingat tanpa mengira warna bagi skuad petanque kebangsaan pada Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Dis ini.
Ringkasan AI
- Persekutuan Sukan Boules Malaysia menetapkan sasaran empat pingat tanpa mengira warna bagi skuad petanque kebangsaan pada Sukan SEA 2025 di Thailand, dengan harapan sekurang-kurangnya satu emas dapat dimenangi.
- Pemburuan pingat emas di Sukan SEA 2025 dijangka lebih mudah selepas Kemboja mengumumkan penarikan diri daripada temasya, memberi peluang lebih tinggi kepada atlet Malaysia.
- Laman web rasmi MBSF yang baru dilancarkan bertujuan menjadi pusat maklumat bagi pasukan kebangsaan, atlet, acara, keputusan, dan komitmen terhadap ketelusan serta pembangunan jangka panjang.
"Kita perlu menghormati negara tuan rumah yang baru-baru ini melahirkan juara dunia lelaki dan wanita. Jadi, sudah tentu kita perlu menyusun langkah dengan betul, kita ada strategi sendiri...Saya yakin seharusnya kita dapat meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Web Rasmi MBSF dan Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad petanque kebangsaan ke Sukan SEA 2025 di Wisma OCM di sini hari ini.
Menurut Cheah, ketiadaan Kemboja yang dikhabarkan menarik diri memberi kelebihan kepada pemburuan pingat kem negara.
"Kita hanya mengetahui melalui media bahawa Kemboja menarik diri daripada temasya...dengan penarikan diri Kemboja, peluang atlet Malaysia untuk menjejakkan kaki di podium akan menjadi lebih tinggi," katanya sambil menambah, skuad petanque negara akan diwakili 24 atlet terdiri daripada 12 lelaki dan 12 wanita.
Pasukan lelaki menampilkan tiga atlet paling berjaya dalam sejarah negara iaitu Saiful Bahri Musmim, Muhamad Hafizuddin Mat Daud dan Syed Akmal Fikri Syed Ali yang juga trio bertanggungjawab menyumbang kesemua lima pingat emas Malaysia pada Sukan SEA setakat ini.
Sebagai rekod, Malaysia memenangi satu emas, satu perak dan tiga gangsa pada edisi 2023 di Kemboja, dengan pencapaian terbaik meraih dua emas, satu perak dan tiga gangsa pada edisi 2017, di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, laman web rasmi MBSF yang dilancarkan hari ini berfungsi sebagai hab berpusat bagi maklumat pasukan kebangsaan, profil atlet, acara serta keputusan, laluan pensijilan pengadil, senarai ahli gabungan dan perkembangan komuniti.
Ia turut mencerminkan komitmen MBSF terhadap ketelusan, pengukuhan komunikasi dan pembangunan jangka panjang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



