HANOI: Hasrat untuk melihat dua peninju negara melangkah ke final pada Sukan SEA ke-31 tidak kesampaian apabila mereka terkandas di peringkat separuh akhir di Gimnasium Bac Ninh dekat sini hari ini.

Kekalahan dua peninju negara Mohd Aswan Che Azmi kepada Bunjung Sinsiri dalam kategori 69kg Lelaki dan Khir Akyazlan Azmi bagi kategori 81kg Lelaki di tangan Anavat Thongkratok, kedua-duanya dari Thailand menyaksikan Malaysia sekadar meraih dua pingat gangsa.

Kedua-dua peninju negara itu tumpas 0-5 kepada lawan masing-masing sekali gus menyaksikan skuad tinju negara membawa pulang keseluruhan tiga gangsa selepas Mohammad Akram Rasit yang bertarung dalam kategori 63kg, meraih gangsa semalam.

Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan pencapaian peninju negara pada temasya sukan itu, namun pelbagai aspek perlu ditingkatkan bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Beliau berkata selepas temasya di Hanoi itu, skuad negara akan membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Julai depan.

"Kita diberikan dua slot untuk bertanding pada Sukan Komanwel. Kita akan panggil empat peninju untuk menjalani latihan pusat dan dua akan dipilih membawa cabaran di Birmingham," katanya bahawa Malaysia dijangka bersaing dalam kategori lebih rendah pada temasya sukan itu.

-- BERNAMA