Seramai 700 atlet melaporkan diri di perkampungan sukan dalam perhimpunan akhir atlet bermula hari ini hingga 10 Ogos sebelum tirai Sukan SEA ke-29 disingkap secara rasmi 19 Ogos nanti.

Keseluruhan 1,039 individu, termasuk 162 jurulatih, pengurus pasukan dan anggota urusetia kontinjen berkampung di Hotel Rennaissance Kuala Lumpur dalam persediaan terakhir menjelang upacara pembukaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Skuad bola sepak wanita kebangsaan tiba di perkampungan sukan bagi menjalani latihan komprehensif sebelum bermulanya temasya Sukan SEA (KL2017)_- Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Dalam perhimpunan tujuh hari ini, atlet negara dijadual menjalani sesi bina semangat dan setiakawan, selain mendengar taklimat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ketua Kontinjen, Datuk Marina Chin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sementara itu, Marina berkata pelbagai kemudahan disediakan semasa perkampungan atlet itu seperti kemudahan fisioterapi, booth makanan 'grab & go' dan pelabagi lagi.

"Dari segi Institut Sukan Negara (ISN), mereka ada sediakan perkhidmatan perubatan dan doktor, ahli fisioterapi, tukang urut serta kemudahan pemulihan seperti 'ice bath' dan bantuan biomekanikal serta permainan.

"Selain itu, mereka juga boleh membuat analisa video yang akan membantu mereka menilai di mana kelebihan dan kekurangan termasuk memberi beri perhatian untuk meningkatkan prestasi," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Katanya, kelompok atlet dibahagikan kepada enam kategori mengikut bidang sukan, iaitu tempur, raket, kekuatan dan kuasa, berpasukan, air dan kemahiran.

Ruang santai turut disediakan di perkampungan sukan kontinjen Malaysia - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Sukan tempur merangkumi taekwondo, karate, silat, wushu, tinju, lawan pedang, muay dan judo.

Raket merangkumi tenis, skuasy, badminton dan ping pong manakala sukan air adalah terjun, renang, renang irama, polo air, ski air, renang laut terbuka dan pelayaran.

Memanah, gimnastik artistik, gimnastik berirama, snuker dan billiard, menembak, boling tenpin, boling padang, petanque, golf, ekuestrian dan polo dikategorikan sukan kemahiran manakala berpasukan pula adalah hoki, sepak takraw, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, futsal, bola tampar, kriket, hoki ais dan ragbi.

Sukan membabitkan kekuatan dan kuasa ialah lumba basikal, angkat berat, olahraga, luncur ais dan triathlon.

Beberapa sukan dikecualikan daripada menyertai perhimpunan ini disebabkan pelbagai faktor seperti skuad ekuestrian yang sedang menghadapi kejohanan di Belgium, manakala pasukan polo menjalani latihan di Pekan.

Ruang santai turut disediakan di perkampungan sukan kontinjen Malaysia - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Skuad muay menjalani latihan di Bangkok manakala pasukan terjun pula berlatih di China hingga 18 Ogos.

Kem tersebut bakal ditutup dengan majlis penyerahan bendera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Ogos.

Kontinjen negara akan diwakili oleh 871 atlet yang bertanding dalam 397 acara daripada 404 yang dipertandingkan secara keseluruhan.

Seramai 392 pegawai terdiri daripada pengurus pasukan, penolong pengurus dan jurulatih turut membentuk kontinjen negara.