PETALING JAYA: Skuad muda badminton negara ke Sukan SEA 2023 perlu menggunakan peluang pada kejohanan dwitahunan di Kemboja itu untuk menampilkan aksi cemerlang bagi menandingi kehebatan pemain senior dalam pasukan kebangsaan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata ini selari dengan matlamat badan itu untuk memantapkan pembangunan atlet muda dari peringkat akar umbi bagi memastikan Malaysia terus meraih kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Kita telah mula mengetengahkan pemain muda ke Sukan SEA bermula dari dua atau tiga edisi (Sukan SEA) lalu, dan umur pemain yang dihantar semakin menurun, maksudnya makin muda bermaksud proses membina pelapis itu berlaku.

"Itu perkara yang mereka (pemain muda) sedia tahu dan mereka juga mahu pergi menyertai Sukan SEA," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, hari ini.

Pada temasya Sukan SEA di Phnom Penh yang bermula dari 5 Mei hingga 17 Mei itu, perseorangan lelaki skuad negara akan dibarisi Leong Jun Hao, Lee Shun Yang, Ong Ken Yon manakala perseorangan wanita ialah Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching.

Beregu lelaki pula akan diwakili oleh Goh Boon Sze-Rayner Beh, Chia Wei Jie-Liew Xun dan Cheng Su Hui-Cheng Su Yin, Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan, Valeree Siow (berpasukan) bagi beregu wanita.

Beregu campuran pula ialah Yap Roy King-Yap Ling, Choong Hon Jian-Cheng Su Yin.

Pada edisi tahun lalu di Hanoi, Vietnam, skuad badminton negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Badminton menawarkan tujuh pingat emas di Sukan SEA Kemboja menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, beregu campuran serta berpasukan lelaki dan wanita.

-- BERNAMA