PHNOM PENH: Skuad badminton lelaki negara akan memulakan kempen acara berpasukan mereka menentang Vietnam dalam saingan suku akhir Sukan SEA 2023 di sini.

Sekiranya berjaya melepasi cabaran pertama, Malaysia sebagai pasukan pilihan kedua kejohanan akan berhadapan dengan penyandang juara, Thailand, atau Kemboja dalam saingan separuh akhir nanti.

Skuad wanita negara pula akan bertemu dengan Filipina, juga dalam saingan suku akhir.

Sekiranya berjaya melepasinya, pasukan wanita negara akan berentap dengan Indonesia atau Kemboja dalam saingan separuh akhir.

Kali terakhir skuad lelaki negara berjaya merangkul pingat emas adalah di Manila 2005, dan kali terakhir skuad wanita negara muncul juara ialah di Vientiane 2009.

Atlet pasukan badminton negara kali ini terdiri daripada Leong Jun Hao, Lee Shun Yang, Ong Ken Yon (perseorangan lelaki); Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching (perseorangan wanita); Goh Boon Sze-Rayner Beh, Chia Wei Jie-Liew Xun (beregu lelaki); Cheng Su Hui-Cheng Su Yin, Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan, Valeree Siow (beregu wanita); dan Yap Roy King-Yap Ling, Choong Hon Jian-Cheng Su Yin (beregu campuran).

Dalam kejohanan edisi Hanoi di Vietnam yang lepas, pasukan negara berjaya membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Acara badminton yang bermula esok (8 Mei) hingga 16 Mei di Badmiton Hall, Morodok Techo National Stadium, menawarkan tujuh pingat emas di Kemboja menerusi perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, beregu campuran, serta acara berpasukan lelaki dan wanita.

Jun Hao ketika ditemui Bernama berkata beliau dan rakan sepasukan, tidak akan memandang enteng cabaran daripada pasukan Vietnam, dan menganggap negara itu menampilkan pasukan yang baik di Phnom Penh ini.

"Persediaan kami setakat ini cukup baik. Kami harap dapat mara ke peringkat akhir sekali lagi tahun ini," kata pemain nombor 61 dunia itu.

-- BERNAMA