DATUK Mohd Sumali Reduan sah akan mengisi jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) baharu bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Ismail yang meletakkan jawatan pada 5 Jun tahun lalu.

Ia selepas PSM mengumumkan tiada pertandingan bagi semua jawatan dalam jawatankuasa tertinggi badan induk sepak takraw negara itu pada pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, dua jawatan Timbalan Presiden pula bakal diisi Datuk Abdul Halim Suleiman dan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Menurutnya, tiga jawatan Naib Presiden pula akan disandang Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Datuk Awang Sham Amit dan Datuk Abu Jimi Samat.

“Selepas tarikh tutup pencalonan pada 6 Februari lalu dan tarikh tutup pengesahan calon yang bertanding hari ini (Khamis), tiada pertandingan pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PSM 2022/2025.

“Jawatankuasa Tertinggi PSM yang dipertandingkan adalah membabitkan jawatan utama presiden (satu), timbalan presiden (dua) dan naib-naib presiden (tiga),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam senarai pencalonan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PSM bagi penggal 2022/2025 yang dikeluarkan PSM pada Isnin lalu, Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP) menerima tujuh pencalonan.

Seorang lagi calon, Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah pula mendapat dua pencalonan, namun Zuraidin membuat keputusan menarik diri daripada merebut kerusi nombor satu PSM itu.

“Pada hari ini (Khamis), pihak PSM menerima kenyataan media Zuraidin Abdullah yang telah menyatakan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden PSM.

“Pengesahan secara rasmi akan dibuat pada AGM Sabtu ini. PSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaaan terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama dalam menjayakan AGM 2022.

"Semoga kepimpinan PSM yang baharu akan memberikan sinar baharu kepada sukan warisan budaya bangsa," jelas Abidullah.

*Berita asal di Sinar Harian