Tengku Zafrul mahu Pearly-Thinaah bawa pulang lebih banyak kejayaan

Tengku Zafrul menyifatkan prestasi naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu sebagai menakjubkan. - Foto Facebook/Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mahu beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah membawa pulang lebih banyak kejayaan selepas menjuarai Terbuka Artik 2025 di Vantaa, Finland, semalam.
Tengku Zafrul menyifatkan prestasi naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu sebagai menakjubkan selepas mudah menjinakkan gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-7, 21-9 di Vantaan Energia Areena, sekali gus merangkul gelaran kedua musim ini.
"Semangat juang, fokus dan kerja keras yang dipamerkan terbukti membuahkan hasil. Teruskan momentum, bawa pulang lebih banyak kejayaan," katanya menerusi hantaran di laman X.
Pencapaian pada Ahad juga menebus kekecewaan beregu wanita nombor dua dunia itu yang tewas pada edisi lalu kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, 12-21, 17-21.Pearly-Thinaah sebelum ini merangkul gelaran pertama musim ini pada Terbuka Thailand pada Mei, selain muncul naib juara pada Terbuka Jepun, Terbuka Indonesia dan Masters Indonesia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami