KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia menepati ramalan melangkah ke pentas separuh akhir Terbuka Jerman 2022 selepas menewaskan Zhao Junpeng dari China dalam aksi suku akhir hari ini.

Turun selaku pilihan kelima, Zii Jia menang mudah set pertama 21-12 namun pemain China yang menduduki ranking ke-38 dunia cuba itu cuba memberikan tentangan sengit pada set kedua, sebelum Zii Jia menang 21-18 dalam kejohanan berlangsung di Westenergie Sporthalle, Muelheim.

Pemain berusia 23 tahun di ranking ketujuh dunia itu dijangka akan membuat perhitungan bagi menentukan tempat ke final pada separuh akhir esok menentang pemenang satu lagi perlawanan suku akhir di antara Kenta Nishimoto dari Jepun dengan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang akan berlangsung lewat hari ini.

Dalam pada itu hasrat beregu wanita Vivian Hoo-Lim Chiew Sien untuk memburu slot penentuan empat terakhir tidak kesampaian apabila tewas di tangan pilihan pertama Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China.

Qing Chen-Yi Fan mengambil masa selama 42 minit untuk menewaskan gandingan negara, 21-15 22-20

Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dijangka akan bertemu gandingan Du Yue-Li Wen Mei dari China atau Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand dalam pertemuan separuh akhir esok.

-- BERNAMA