[TERKINI] Isu dokumentasi: Setiausaha Agung FAM digantung tugas serta-merta
![[TERKINI] Isu dokumentasi: Setiausaha Agung FAM digantung tugas serta-merta [TERKINI] Isu dokumentasi: Setiausaha Agung FAM digantung tugas serta-merta](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-09/61757455967_NOORAZMANRAHMAN.jpg)
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman (gambar) digantung tugas serta-merta. - Gambar fail/Bernama
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman digantung tugas berkuat kuasa serta-merta hari ini susulan siasatan berhubung proses naturalisasi tujuh pemain kebangsaan.
Ringkasan AI
- Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman digantung tugas serta-merta, disahkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Sivasundaram.
- Penggantungan berkait kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain warisan kepada FIFA oleh kakitangan pentadbiran FAM.
- Sidang media khas di Petaling Jaya mengesahkan tindakan ini sebagai langkah susulan isu pendaftaran pemain warisan.
“Kronologi kes ini bermula hujung tahun lalu apabila FAM melaksanakan strategi berstruktur untuk mengenal pasti dan menyemak kelayakan pemain yang mempunyai asal usul Malaysia bagi memperkukuh skuad kebangsaan.
Menurutnya, proses naturalisasi tujuh pemain berkenaan dilaksanakan sepenuhnya mengikut undang-undang Malaysia dan melibatkan beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Bagaimanapun, dalam keghairahan untuk memenuhi tarikh akhir pendaftaran, berlaku ralat teknikal pada dokumentasi yang ketika itu tidak dikesan.
“Akibatnya, FIFA telah meluluskan kelayakan pemain berkenaan untuk mewakili Malaysia,” katanya pada sidang media di Kelana Jaya, pada Jumaat.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Sivasundaram Sithamparam Pillai ketika sesi sidang media berkenaan perkembangan terkini status tujuh pemain bola sepak kebangsaan Malaysia di Wisma FAM hari ini. - Foto Bernama
Sivasundaram menjelaskan, Jawatankuasa Eksekutif FAM membuat keputusan untuk menggantung Noor Azman semalam.
“Kami tidak mahu beliau berada dalam organisasi sepanjang siasatan dijalankan sekiranya siasatan itu mahu dilaksanakan secara telus.
“Beliau merupakan Setiausaha Agung FAM, jadi beliau telah mengambil tanggungjawab. Untuk membolehkan jawatankuasa bebas menjalankan siasatan, beliau perlu berundur buat sementara waktu sehingga siasatan selesai,” tambahnya.
Langkah itu menyusul selepas tindakan yang dikenakan FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA memaklumkan bahawa FAM menyerahkan dokumen dipalsukan untuk tujuan mengesahkan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Noor Azman mula memegang jawatan Setiausaha Agung FAM pada 1 September 2022, menggantikan Mohd Saifuddin Abu Bakar, dan sekali lagi dilantik untuk penggal 2025-2029 pada Februari 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami